suria

Obama, Hillary dan CNN terima bungkusan 'bom paip'

Foto:FBI

BUNGKUSAN disyaki berisi bahan letupan telah dihantar kepada bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dan bekas calon presiden, Hillary Clinton serta CNN.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memaklumkan, menerusi pemeriksaan keselamatan rutin,  bungkusan terbabit berjaya disekat daripada sampai kepada dua tokoh Demokrat berkenaan.

Sementara itu, sebuah bungkusan lagi turut dihantar ke pejabat agensi berita CNN di New York.

CNN dilihat sering mengkritik pentadbiran Trump serta banyak mencetuskan kemarahan tokoh Republikan terbabit yang menggantikan Obama dan mengalahkan Clinton dalam pilihan raya 2016 lalu.

Akhbar New York Times melaporkan, bungkusan yang dikirim sama dengan alat letupan yang ditemui di rumah bilionair, George Soros di New York, Isnin lalu.

"Setakat ini peranti tersebut kelihatan seperti bom paip," kata seorang agen FBI, Bryan Paarmann.

"Sama ada ia perbuatan individu atau satu rangkaian, masih belum dapat dipastikan buat pada masa ini," kata Ketua Polis New York, James O'Neill sambil menyatakan keyakinan si pelaku akan dapat dikenal pasti dan ditahan dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, Rumah Putih mengecam insiden tersebut yang disifatkan sebagai ‘perbuatan keji’.

“Semua ini adalah tindakan terkutuk dan siapa yang bertanggungjawab akan didakwa mengikut undang-undang paling tegas. Presiden dan pentadbiran beliau sedang mengikuti perkembangan ini,” Kata Setiausaha Akhbar, Sarah Sanders.

Insiden berlaku menjelang negara itu bakal mengadakan pilihan raya pada 6 November depan yang dilihat sebagai pungutan suara terhadap Presiden Republikan, Donald Trump. - AFP

Bungkusan bom

Artikel Lain