suria

Takutkan 'hantu janda', penduduk lelaki 'ramai-ramai' warna kuku

-foto Sanook

REMAJA dan lelaki muda di sebuah kampung bertindak mewarnakan kuku masing-masing dengan warna merah selepas kampung mereka kononnya diserang oleh 'hantu janda'.

Penduduk kampung Pu Hong, kawasan luar bandar wilayah Kalasin, Thailand trauma selepas lima penduduk, dua lelaki dan tiga wanita meninggal dunia dalam tempoh tiga minggu.

Dua lelaki pertama yang meninggal dunia adalah daripada keluarga yang sama, yang mana laporan menyatakan mereka tiba-tiba pengsan dan mati tanpa menyebut punca kematian secara khusus.

Kematian kelima adalah seorang gadis berusia 16 tahun yang terbabit dalam kemalangan motosikal. Butiran untuk dua kematian lain belum didedahkan kepada media.

Menurut Timbalan Datuk Bandar, Pongpipat Pukrongtoong, orang ramai tidak percaya ia adalah satu kebetulan sebaliknya menyalahkan semangat atau roh jahat di sebalik kecelakaan yang berlaku di kampung mereka.

Ahli psikik Bussadee Malasee, 60, memberitahu pemberita bahawa dia yakin apa yang berlaku adalah 'kerja dua hantu' iaitu 'roh janda yang dahaga' dan satu lagi adalah 'pop'.

Difahamkan, pop adalah sejenis hantu Thai yang berkeliaran merasuk manusia dan makan benda-benda kotor di rumah mereka.

Malasee menjelaskan bahawa 'hantu janda' itu mahu mengambil nyawa kaum lelaki dan pop merasuk orang tua dan lemah di kampungnya sebelum 'memakannya' dari dalam.

Jadi, penduduk kampung telah memasang beberapa papan tanda di atas pagar mereka dengan tujuan untuk menipu 'hantu janda' tersebut.

Pada papan tanda itu ditulis: "Tak ada lelaki tinggal di sini."

Atas sebab ini, ramai lelaki telah mewarnakan kuku mereka untuk menyamar sebagai wanita dan sebagai cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa 'hantu janda', lapor Amarin TV.

Seorang penduduk kampung, Kitti Saosri, 72, berkata penduduk tempatan telah pergi ke kuil untuk mendapatkan perlindungan selepas siri kematian dan ramai yang tidak meninggalkan rumah mereka pada waktu malam. -thaivisa

roh jahat, hantu janda, warna kuku

Artikel Lain