suria

Nak 'Sejukkan' Bos, Konstabel Mengadu Kena Potong Gaji

Gambar Hiasan

SEBELAS anggota polis berpangkat rendah  dipaksa membayar lebih 2,000 baht (RM247) setiap seorang bagi membeli pendingin udara baharu untuk pejabat ketua mereka di Balai Polis Phahon Yothin, Thailand.

Sarjan Nonkhunthot, salah seorang daripada 11 pegawai terlibat, memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Anti Rasuah Sektor Awam (PACC).

Menerusi surat petisyen, mereka mendakwa dua inspektor mengarahkan pegawai kedudukan terbawah supaya menderma duit untuk pendingin udara berharga 25,000 baht (RM3,091).

Mereka diarahkan supaya memotong jumlah antara 2,000 baht (RM247) sehingga 4,000 baht (RM494) dari elaun yang diperoleh sewaktu misi memantau demonstrasi jalanan antara Mei dan Jun tahun lalu.

"Saya dan rakan tidak setuju dengan arahan ini. Kalau nak beli pendingin hawa, mereka perlu guna bajet negeri, bukannya duit peribadi kami," demikian kata Sarjan Loesak.

Pada Selasa, dia menyerahkan bukti kepada PACC termasuk gambar penghawa dingin dan arahan inspektor tersebut yang dihantar menerusi aplikasi sembang Line.

Seperti dilaporkan, dua inspektor itu adalah Mejar Ekkarat Omak dan Mejar Chalakon Pandaeng.

Bekas Ketua Polis Phahin Yothin, Yanyong Santiprichawat mengakui arahan itu telah dikeluarkan.

"Bukan sahaja pegawai ranking terendah, malah pegawai di unit penyiasatan turut mengeluarkan wang. Saya rasa ini salah faham sahaja," ujarnya yang kini berkhidmat sebagai timbalan ketua Polis Metropolitan Divisyen 2.

Dalam satu kes berasingan, seorang pekerja mendakwa diarahkan majikannya supaya membayar separuh daripada jumlah gaji 30,000 baht (RM3,709) bagi mendapatkan pekerjaan di Zon Kesihatan Manusia 8.

Tempat kerja berkenaan merupakan salah satu daripada 13 zon yang didirikan pada 2014 oleh Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan bagi meningkatkan kualiti hidup orang ramai.

Pekerja itu, Chanittha Mangkhachot, mendakwa dia membayar 15,000 baht (RM1,854) kepada Winai Wongsa, koordinator kepada setiausaha kesatuan Zon 8 sebelum diberi bekerja di situ.

Ujar Chanittha, dia meminta pegawai itu menandatangani resit sebagai bukti pembayarannya namun permintaan itu ditolak.

Malah, dia diminta supaya memberi sebahagian gajinya kepada pegawai itu.

Dia diminta berhenti kerja kerana keengganannya dan mendakwa tidak menerima gaji sejak Disember tahun lalu.-BangkokPost


Yothin, PACC

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain