suria

Kalau Nak Kurus, Kawanlah Dengan Makanan!

-foto Instagram Nessa Sphere

SEORANG guru kecergasan menggesa orang ramai untuk tidak berlapar jika mahu kurus.

Tegasnya, 'tidak cukup makan' menjadi salah satu sebab utama mereka mereka tidak mendapat hasil atau bentuk badan yang diinginkan.

Nessa Sphere, seorang Instafamous berusia 40 tahun dari Jerman, sering berkongsi gambar 'sebelum dan selepas' tubuhnya bagi menunjukkan bagaimana mengambil 2,000 hingga 2,200 kalori setiap hari telah membantunya untuk kurus berbanding ketika dia makan secara tidak teratur.

"Makanan adalah kawan, bukan musuh anda," tulisnya dalam satu posting baru-baru ini.

"Saya percaya ramai yang terlepas pandang aspek nutrisi untuk menjalani gaya hidup sihat.

Nessa berkata ramai yang berfikir makan semangkuk salad bersama ayam panggang itu 'sihat', tetapi menekankan ia bukanlah makanan yang cukup untuk membantu mereka mencapai matlamat mendapatkan bentuk badan yang diinginkan.

"Ramai yang tak tahu, salah satu sebab utama mereka tidak mendapat hasil disasarkan, hanyalah disebabkan tidak cukup makan," katanya.

Apabila memulakan perjalanan kecergasan, mereka menambah banyak kardio dalam rutin harian dan mengurangkan kalori dengan kadar terlalu rendah untuk mendapatkan hasil lebih cepat.

Tetapi, ia sebenarnya akan menjadi sebaliknya!

Nessa menjelaskan bahawa badan manusia adalah sebuah 'mesin pintar' yang akan bertukar kepada mod lapar apabila makanan tidak cukup, melambatkan proses metabolisme dan menghentikan proses membakar lemak.

"Kurang makan biasanya membuatkan anda rasa kecewa, lapar, anda hilang motivasi dan hanya putus asa. Adakah itu yang anda mahukan?," katanya.

Ketika berusia 37 tahun, Nessa mempunyai berat badan 136lbs dan memiliki pinggang berukuran 29 inci.

Tiga tahun kemudian, dia sebenarnya lebih berat, dengan rekod 143lbs tetapi pinggangnya kini dua inci lebih kecil berbanding ukuran sebelum ini.

Bintang kecergasan itu berkata dia tidak pernah mendapat hasil itu, sehinggalah dia mengubah rutin makanannya dan mula makan lima hingga enam hidangan seimbang setiap hari untuk pembakaran semasa bersenam.

Selain menjaga diet yang sihat, Nessa bersenam sekurang-kurangnya lima kali seminggu, mengimbangi kardio dengan latihan intensiti tinggi.

"Saya menghidupkan proses metabolisme saya, saya melihat kemajuannya, saya kelihatan lebih kurus walaupun berat badan naik, saya lebih cergas dan saya rasa sihat," katanya.

Dia mengakhiri postingnya dengan menulis: "Jangan abaikan makan, jadikan makanan rakan, bukan musuh anda dan ingat, makan lebih banyak adalah kunci untuk hilang lebih banyak berat badan dan kelihatan lebih baik."

Nessa sering berkongsi gambar makanan dan resipi hariannya untuk dicuba peminat dan pengikutnya.

Setiap hidangan utamanya mempunyai sayur-sayuran atau buah-buahan, protein, lemak sihat dan karbohidrat, dan dia juga mempunyai dua snek sepanjang hari.

"Saya biasanya agak tegas tentang makanan pada hari biasa. Pada Sabtu atau Ahad, saya biarkan diri tidak mengikut rutin pemakanan standard saya," jelasnya dalam satu catatan harian makanan. -dailymailUK

Nessa Sphere, tip kurus

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain