Empat Termasuk Bayi Terbunuh Di Narathiwat

BANGKOK: Empat termasuk bayi berusia 11 bulan terbunuh manakala empat yang lain cedera parah apabila beberapa lelaki melepaskan tembakan ke arah sebuah kedai kopi di Narathiwat awal Selasa.

Ketua Polis Ranget Kolonel Jiradech Pornsawan berkata, tembakan itu dilepaskan ke arah semua mangsa semasa mereka sedang bersarapan di kedai kopi di Kampung Dama Buah, Tanjung Lima, Ranget, Narathiwat pada kira-kira 7.30 pagi.

Tiga yang terbunuh dikenal pasti sebagai Pakngah Rimae, 79, Kabari Hak, 37, dan Amizi Chekdo, 23, manakala identiti bayi itu masih belum dikenal pasti.

Jiradech berkata, seorang bayi berusia lapan bulan, Muhd Rishakimi Yaena, adalah antara empat yang cedera selain Siti Rohimah Mamat, 70, Tuanma Tingi, 61, dan Misbah Musa, 25.

Mangsa yang cedera telah dipindahkan dari Hospital Ranget ke Hospital Narathiwat berikutan keadaan mereka yang kritikal.

Polis menemui 40 butir kelongsong peluru daripada tiga jenis raifal - M-16, AK-47 dan HK yang digunakan oleh penyerang yang tiba dengan menaiki pick-up, katanya.

Lebih 5,000 orang terbunuh sejak kumpulan pemisah dikatakan menyambung semula kempen bersenjata mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah di selatan iaitu Narathiwat, Pattani dan Yala, lapan tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain