suria

Mahkamah Keluarkan Perintahan Tahan Bekas Presiden Arroyo

MANILA: Sebuah mahkamah di sini telah mengeluarkan perintah agar bekas presiden Gloria Macapagal Arroyo ditahan selepas tujuh bulan dirawat di sebuah hospital tentera.

Selain Arroyo, perintahan tahanan itu turut dikeluarkan ke atas 10 bekas pegawai tinggi kerajaan kerana disyaki turut terlibat dalam penyalahgunaan dana loteri.

Arroyo, 65, yang menjadi presiden dari tahun 2001 hingga 2010, kali ini mungkin tidak akan terlepas daripada ikat jamin kerana dakwaan yang akan dikenakan ke atasnya tidak boleh diikat jamin.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara seumur hidup.

Peguam Arroyo, Ferdinand Topacio berkata, pihaknya masih lagi menyemak keputusan tersebut.

Selain itu, Arroyo juga berhadapan dengan beberapa tuduhan rasuah yang lain termasuklah dakwaan rasuah ketika meluluskan projek jalur lebar yang bernilai AS$329 juta.

Beliau menafikan kesemua tuduhan tersebut.

Arroyo kini memegang jawatan sebagai anggota kongres dan telah pun memfailkan permohonan untuk bertanding semula pada pemilihan Mei tahun depan.

Di bawah pemerintahan Presiden Benigno Aquino, peperangan ke atas korupsi dan rasuah telah mendapat perhatian dan sokongan ramai.

Arroyo telah ditahan tahun lalu ketika hendak berlepas ke luar negara untuk rawatan sakit tulang belakang.

Selain Arroyo, seorang lagi bekas presiden iaitu Joseph Estrada turut didakwa dan disabitkan dengan kesalahan penyalahgunaan kuasa.

Dia dihukum penjara seumur hidup tetapi kemudiannya menerima pengampunan daripada kerajaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain