suria

Bot Nelayan Malaysia Ditahan Di Perairan Kalimantan

JAKARTA: Pasukan tentera peronda sempadan Indonesia menahan dua buah bot nelayan dari Malaysia pada Jumaat malam kerana didakwa menangkap ikan di perairan Indonesia, di luar pantai Pulau Nunukan, Kalimantan Timur.

Media tempatan melaporkan pada Isnin bahawa enam nelayan, iaitu tiga orang dari setiap bot turut ditahan bersama bot itu di Pelabuhan Inhutani daerah Nunukan, namun laporan tidak menyebut secara jelas kewarganegaraan mereka.

Daripada enam orang yang ditahan itu, hanya tiga orang yang dilaporkan mempunyai dokumen perjalanan sah iaitu dua orang menggunakan pasport manakala seorang lagi menggunakan pas lintas sempadan.

Satu daripada pasport itu dikeluarkan oleh pejabat Konsulat Indonesia di Tawau.

Seorang daripada nelayan itu dilaporkan berasal dari Campalagian, daerah Polman, Sulawesi Barat, Indonesia.

Pihak berkuasa berkata ada lima buah bot nelayan dari Malaysia sedang menangkap ikan di perairan itu ketika pasukan tentera peronda sempadan Indonesia menghampiri kawasan berkenaan pada Jumaat malam, bagaimanapun tiga daripada bot itu telah melarikan diri.

Berdasarkan maklumat daripada nelayan tempatan, bot dari Malaysia itu dikatakan sering menangkap ikan di perairan itu.

Bot itu akan memasang bendera Indonesia apabila berada di situ dan menukarkan kepada bendera Malaysia apabila berada di perairan Malaysia, menurut laporan itu.

Artikel Sebelum

Artikel Lain