suria

Trafik Penumpang Di Lapangan Terbang Changi Meningkat

SINGAPURA: Trafik penumpang di Lapangan Terbang Changi meningkat 15.3 peratus tahun ke tahun kepada 4.28 juta pada Mac 2012, angka tertinggi penumpang yang pernah dikendalikannya.

Dalam kenyataan pada Rabu, Changi Airport Group (CAG) berkata peningkatan jumlah trafik penumpang itu adalah selari dengan peningkatan pergerakan pesawat yang berkembang 10.6 peratus kepada 27,000.

Pergerakan kargo udara bagaimanapun susut 1.8 peratus kepada 163,000 tan pada bulan yang sama, katanya.

CAG berkata dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, lapangan terbang itu merekodkan 12.3 juta pergerakan penumpang, penambahan 12.9 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2011.

"Peningkatan jumlah trafik disokong oleh permintaan untuk perjalanan yang tinggi dari dan ke Eropah, Timur Tengah, Asia Selatan, Asia Utara dan Asia Tenggara, yang menyaksikan pertumbuhan dua angka," katanya.

Lapangan terbang itu mengendalikan 79,500 pergerakan pesawat dari Januari hingga Mac tahun ini, meningkat 12.9 peratus tahun ke tahun, katanya.

Ia berkata pergerakan kargo di Changi secara relatifnya stabil dan dirangsang oleh pergerakan ke dan dari barat daya Pasifik dan Asia Tenggara meskipun terdapat penurunan kecil pergerakan kargo dari dan ke Eropah dan Asia Selatan.

Sejumlah 443,900 tan kargo melepasi Changi dalam tempoh itu, peningkatan 0.6 peratus, katanya.

CAG berkata sehingga 1 April, 2012, Lapagan Terbang Changi mengurus kira-kira 100 syarikat penerbangan yang melakukan 6,200 penerbangan seminggu, menghubungkan Singapura ke lebih 220 destinasi di 60 negara. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain