suria

Syarikat Asean Digalak Raih Pembangunan India Yang Semakin Berkembang

NEW DELHI: Syarikat-syarikat Asean digalakkan meraih banyak peluang pelaburan yang semakin muncul di India, terutama sekali di dalam pembangunan sektor infrastruktur yang kukuh negara itu.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Perancangan Dr Montek Singh Ahluwalia berkata negara itu memerlukan pelaburan kira-kira US$50 bilion atau antara 3.0 dan 3.5 peratus daripada Keluaran dalam Negara Kasarnya (KDNK) bagi tempoh lima tahun akan datang.

"Syarikat-syarikat asing sedang melabur di dalam banyak industri, seperti kehadiran syarikat-syarikat Malaysia yang jelas di dalam bidang infrastruktur, perumahan dan kereta api.

"Syarikat-syarikat Asean akan berpeluang untuk mengambil bahagian di dalam pembangunan yang pesat ini. Antara sektor lain yang sedang berkembang di sini ialah kesihatan dan pendidikan," katanya kepada sekumpulan wartawan Asean di sini.

Antara syarikat Malaysia yang telah melabur di India termasuk IJM Corporation, Scomi Group, Maxis Bhd dan Axiata Group Bhd.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa berkata syarikat-syarikat Malaysia telah mendapat 87 projek di India bernilai RM5.5 bilion.

Kini, kebanyakan pelaburan langsung asing (FDI) di India dapat dilihat di dalam industri pembinaan, kewangan, telekomunikasi, perumahan dan hartanah dan kuasa.

Perangkaan yang diumumkan oleh Jabatan Perindustrian, Dasar dan Pengalakan India menunjukkan bahawa aliran masuk FDI ke negara itu dicatatkan US$23.69 bilion antara Januari dan Oktober tahun lepas, yang meningkat 36 peratus berbanding tempoh yang sama 2010.

Pada masa yang sama, Ahluwalia berkata syarikat-syarikat India juga digalakkan melabur di dalam negara-negara Asean dan meraih potensi sedia ada di dalam ekonomi berkenaan yang semakin berkembang, terutama berikutan kebimbangan berterusan terhadap krisis zon Euro.

Kira-kira 20 wartawan telah dijemput ke India bagi menyertai program pertukaran media yang bertujuan mewujudkan lebih kefahaman hubungan dua hala antara India dan 10 negara anggota Asean yang kini memasuki ulang tahun ke-20 pada tahun ini.

Selain bertemu Ahluwalia, para wartawan itu telah menemui Menteri Hal Ehwal Luar India S.M Krishna, melawat Taj Mahal di Agra, yang merupakan salah satu daripada tujuh keajaipan dunia, institusi pendidikan tinggi yang cemerlang dan syarikat-syarikat India yang mencapai kejayaan di India dan antarabangsa. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain