suria

Dunia Kini Sedang Memerhati Perbelanjaan Ketenteraan India

Gambar fail jet pejuang Rafale pada 29 Mac 2011 yang diambil oleh Tentera Perancis. Kerajaan India memutuskan untuk membeli Rafale buatan Perancis itu pada harga AS$12 bilion. - AP
Gambar fail jet pejuang Rafale pada 29 Mac 2011 yang diambil oleh Tentera Perancis. Kerajaan India memutuskan untuk membeli Rafale buatan Perancis itu pada harga AS$12 bilion. - AP
Gambar fail jet pejuang Rafale pada 29 Mac 2011 yang diambil oleh Tentera Perancis. Kerajaan India memutuskan untuk membeli Rafale buatan Perancis itu pada harga AS$12 bilion. - AP

NEW DELHI: Tidak ada siapa pun pernah menjangkakan termasuklah Perancis sendiri bahawa suatu hari nanti negara demokrasi terbesar di dunia, iaitu India akan menjadi pelanggan senjata mereka yang terbesar dalam sejarah.

Malah para penganalisis keselamatan dan ketenteraan global pun terkejut dengan keputusan Kerajaan India untuk membeli pesawat pejuang Rafale buatan Perancis pada harga AS$12 bilion.

Dalam perjanjian itu, India akan membeli 18 buah pesawat Rafale terus dari kilang pembuatnya iaitu Dassault manakala 108 buah pesawat yang serupa akan dibuat dan dibina di India dalam pertukaran teknologi di antara kedua-dua buah negara.

Keputusan India untuk beralih arah kepada teknologi Perancis juga adalah sesuatu yang mengejutkan kerana dari sudut sejarahnya, rakan kontrak ketenteraan India adalah Rusia yang selama bertahun-tahun sejak India mencapai kemerdekaan telah membekalkan pesawat-pesawat tempur MiG dan Sukhoi.

Sebuah majalah ketenteraan antarabangsa yang popular, Jane's Defence Weekly edisi terbaru yang akan diterbitkan minggu hadapan akan memberi satu laporan khas mengenai perbelanjaan ketenteraan India yang sangat luar biasa sejak tahun lalu.

Menurut majalah itu, dari 2011 hingga menjelang 2015 bajet perbelanjaan perolehan ketenteraan India akan mencapai AS$100 bilion.

Yang menimbulkan persoalan paling besar ialah mengapakah New Delhi begitu dahagakan peralatan ketenteraan yang canggih dan mahal dan di manakah keutamaan strategik negara itu tertumpu.

Sesetengah penganalisis berhujah, kerajaan pusat menggunakan peluang dari pertumbuhan ekonomi negara itu yang semakin mampan untuk memberi wajah baru kepada sektor pertahanannya yang ketinggalan zaman dan dipenuhi dengan teknologi era Soviet.

Bagaimanapun, terdapat sekumpulan penganalisis lagi berpendapat sebaliknya. Mereka berhujah, India berada dalam tekanan untuk bersaing dengan dua buah negara jirannya yang tidak begitu 'mesra' iaitu India dan China bahawa mereka juga tidak ketinggalan dari segi pertahanan berbanding kedua-dua buah negara tersebut.

Sementara China mempunyai kekuatan ketenteraan hasil daripada teknologi dalaman, Pakistan pula sentiasa mendapat dana sulit daripada Amerika Syarikat (AS) untuk memperkukuhkan peralatan pertahanan mereka kerana ancaman puak Taliban dan juga Al-Qaeda.

Dalam testimoninya kepada Jawatankuasa Terpilih Senat Mengenai Keselamatan, Pengarah Perisikan Kebangsaan AS, James Clapper, memaklumkan bahawa India semakin gelisah dengan tindak-tanduk China di kawasan berhampiran sempadan yang masih lagi menjadi pertikaian dan juga pemberontakan di Tibet serta wilayah yang berdekatan dengannya.

India juga katanya khuatir, China akan melebarkan pengaruhnya sehingga ke Lautan India dan dengan itu berpendapat hanya dengan mengukuhkan barisan pertahanan sahaja yang mampu mengendurkan sedikit ancaman tersebut daripada berlaku.

Oleh kerana situasinya tidak sepertimana China mahupun Pakistan, India perlu memperolehi teknologi dan kecanggihan peralatan ketenteraan dari luar untuk mengukuhkan benteng pertahanan mereka yang rapuh itu.

Statistik Kementerian Pertahanan India menunjukkan, 70 peratus daripada keperluan pertahanan India bergantung kepada peralatan dan teknologi yang diimport dari negara luar.

Menurut majalah Jane's Defence Weekly lagi, keputusan India untuk membeli pesawat Rafale adalah banyak dipengaruhi oleh topo geografinya yang beragam dan pelbagai.

"Pesawat yang mereka gunakan sekarang telah ketinggalan zaman. Mereka sangat-sangat memerlukan pesawat yang boleh terbang, mendarat dan berlepas dari mana-mana sahaja sama ada dari kaki gunung Himalaya sehinggalah kepada padang pasir Rajasthan dan Rafale dapat memenuhi permintaan dan keperluan tersebut," kata majalah itu lagi.

India bukan sahaja sedang memperbaharui angkatan udaranya malah turut melakukan perkara yang sama dalam angkatan laut.

Disember lalu, Rusia telah menyewakan sebuah kapal selam berkuasa nuklear kepada India untuk tempoh 10 tahun - satu keputusan yang mencetuskan kemarahan Pakistan.

Kapal selama jenis Akula II itu adalah kapal selam berkuasa nuklear India yang pertama sejak angkatan lautnya menghentikan perkhidmatan kapal selamnya yang terakhir pada tahun 1991.

India juga buat masa ini sedang membina kapal selam berkuasa nuklearnya yang pertama menggunakan teknologi Rusia.

Artikel Lain