suria

Thailand Khuatir Amaran Ancaman Keganasan Jejas Sektor Pelancongan

BANGKOK: Kerajaan Thai meluahkan kebimbangan amaran mengenai ancaman keganasan di bandar raya ini yang dikeluarkan beberapa negara akan menjejaskan industri pelancongannya.

Jurucakap Kementerian Pelancongan dan Sukan Watchara Kannika berkata amaran berterusan mengenai perkara tersebut boleh meninggalkan kesan secara langsung kepada sektor pelancongan Thailand.

"Terdapat impak psikologi terhadap industri pelancongan selepas Amerika Syarikat memaparkan amaran keganasan pada laman web kedutaannya di sini Jumaat lepas," katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini belum ada pembatalan pakej pelancongan yang ketara oleh pelawat.

Kedutaan Amerika Syarikat di Thailand pada Jumaat lepas memberi amaran bahawa pengganas asing mungkin melancarkan serangan di kawasan tumpuan pelancong di ibu kota ini dalam masa terdekat.

Selain Amerika, beberapa negara lain termasuk Israel dan Australia turut mengeluarkan amaran dan sehingga kini kesemua amaran terbabit belum ditarik balik.

Watchara berkata sesetengah pelawat telah menangguhkan kunjungan mereka bulan depan dan mengambil sikap "tunggu dan lihat", sementara yang lain pula menukar destinasi mereka dari Bangkok ke Phuket dan Chiangmai.

Katanya Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi masih merekodkan ketibaan pelawat asing antara 40,000 dan 50,000 bagi tempoh tiga hingga empat hari lepas.

Bagaimanapun katanya, pelawat dari China dan India adalah sensitif terhadap perkembangan sebegini kerana mereka pernah membatalkan kunjungan ketika Thailand dilanda bencana banjir terburuk dalam tempoh lima dekad baru-baru ini.

Watchara percaya, secara keseluruhan negara ini masih mampu mencapai sasaran 19.5 juta pelawat asing yang menjana pendapatan 760 bilion Baht (RM76 bilion) tahun ini.

Perdana Menteri Yingluck Shinawatra telah memberi jaminan semua kawasan awam dan juga pelancong di ibu kota ini adalah selamat.

Seorang suspek pengganas rakyat Lubnan berusia 48 tahun ditahan di bandar raya ini Khamis lepas, dan hasil siasatan pihak berkuasa menemui lebih daripada empat tan bahan letupan.

Suspek itu juga didakwa mengaku rancangan serangan keganasan ke atas bandar raya ini telah dibatalkan, setelah pihak berkuasa mengetahui perkara tersebut.

Lelaki itu juga memberitahu polis bahawa bahan letupan yang ditemui tersebut bukan untuk digunakan di negara ini, sebaliknya untuk dieksport ke negara lain.

Artikel Lain