suria

Media Sosial Jadi Sebaran Maklumat Utama Semasa Banjir Thai

SINGAPURA: Media sosial menjadi saluran komunikasi utama semasa banjir di Thailand.

Kerajaan Thailand dengan pantas mewujudkan laman web rasmi (http://www.floodthailand.net) dan Kementerian Teknologi Maklumat dan Komunikasi menubuhkan @FloodThailand, sebagai akaun Twitter rasmi bagi menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat.

Jake Wengroff, Pengarah Global Penyelidikan dan Strategi Media Sosial Frost & Sullivan berkata: "Sesetengah organisasi swasta juga telah membuat laman web, halaman Facebook, dan Twitter untuk menyebarkan maklumat.

"Tetapi suatu yang patut dipuji ialah tindakan kerajaan Thai yang cepat menjadi peneraju dalam memastikan bahawa berita rasmi diberikan dengan betul.

"Sesungguhnya, dalam masa krisis, terlalu banyak suara tidak disunting terutama orang-orang di saluran media sosial, boleh membuat dan menyebarkan maklumat bercanggah, mengelirukan dan mungkin tidak tepat yang boleh menimbulkan masalah. Kerajaan Thailand mahu memastikan ini tidak berlaku," katanya dalam nota pemerhatian mengenai situasi berkenaan.

Bagaimanapun, Wengroff berkata saluran media sosial dan strategi yang ditubuhkan untuk banjir Thailand hampir semua dalam bahasa kebangsaan.

"Ini sudah tentu menghalang majoriti di seluruh dunia, yang berminat dalam laporan rasmi, daripada mengetahui tentang bencana dan yang mungkin boleh menawarkan bantuan.

"Lain-lain bencana alam juga bergantung sepenuhnya kepada media sosial untuk komunikasi krisis. Tetapi laporan berita rasmi diterjemah atau dalam bahasa Inggeris, membawa perhatian antarabangsa dan menyampaikan bantuan," kata Wengroff.

Oleh kerana halangan bahasa, katanya, bantuan tidak boleh tiba dengan cepat, kerana orang yang tidak boleh bertutur bahasa Thai tidak dimaklumkan setiap minit dan berita bahasa Inggeris melalui rangkaian sosial tidak banyak.

Malah, katanya, "banjir Thai" tidak disenaraikan antara berita utama di berita Google dan "thaiflood", "floodthailand" atau mana-mana kombinasi daripadanya, tidak menjadi trend topik dalam laman web Twitter. - BERNAMA

Artikel Berikut

Gempa Bumi Kuat Landa Mexico

Artikel Lain