suria

Kematian Pencari Suaka Disebabkan Kegagalan Perjanjian Malaysia - Australia - Bowen

MELBOURNE: Menteri Imigresen Australia Chris Bowen berkata kematian 27 pencari suaka akibat lemas di lautan pada Selasa ada kaitan dengan kegagalan perjanjian pertukaran orang pelarian antara negara ini dan Malaysia.

Beliau berkata perjanjian dengan Malaysia itu sebenarnya bertujuan mengelak kejadian serupa daripada berlaku, di samping untuk mewujudkan perjalanan lebih selamat serta meningkatkan pengambilan orang pelarian berasaskan sifat perikemanusiaan, katanya seperti yang dipetik akhbar The Age.

Pada Rabu, Bowen memberitahu ABC Radio bahawa beliau sering menegaskan bahawa sekiranya perjanjian dengan Malaysia itu dihalang, lebih ramai yang akan mati di laut.

"Saya amat sedih, walaupun jangkaan saya itu terbukti benar. Tragedi ini sungguh dahsyat, tapi itulah hakikatnya, apabila semakin banyak bot menuju ke Australia, lebih ramailah yang akan menemui ajal.

"Kami tidak menerima pakai perjanjian dengan Malaysia itu kerana ia baik daripada segi politik atau kerana ia sesuatu yang memudahkan, tapi sebaliknya. "Kami menerimanya kerana kami tahu perjanjian ini memang diperlukan untuk mencegah lebih ramai yang maut di laut, tapi sebaliknya, itulah yang kita lihat terjadi," kata beliau.

Bagaimanapun, beliau tidak mempersalahkan Pembangkang secara terbuka kerana enggan meluluskan undang-undang di Parlimen untuk mengetepikan larangan mahkamah terhadap pelaksanaan perjanjian pertukaran orang pelarian dengan Malaysia.

Bowen berkata ketibaan sebuah lagi bot yang membawa 92 pencari suaka di luar pantai Pulau Krismas pada Selasa menunjukkan bahawa ketibaan bot semakin bertambah berikutan kegagalan perjanjian dengan Malaysia itu dan kerajaan sendiri meramalkan perkara berkenaan akan berlaku.

Jurucakap imigresen daripada Pembangkang Scott Morrison pula berkata peraturan yang dicadangkan kerajaan di Parlimen mungkin mendapat kelulusan sekiranya ia menerima cadangan pindaan oleh Pembangkang.

Bagaimanapun, beliau tidak pula menuduh dasar yang diamalkan kerajaan menjadi punca pencari suaka berkenaan mati lemas. "Tiada gunanya membuat kenyataan retorik seperti itu dan penjenayah penyeludup manusialah yang patut dipersalahkan," katanya kepada ABC Radio. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bapa Charice Mati Ditikam

Artikel Lain