suria

Kerajaan Thailand Nafi Sekat Maklumat Sebenar Keadaan Banjir

BANGKOK: Perdana Menteri Yingluck Shinawatra hari ini mempertahankan integriti kerajaan di sebalik kesangsian yang hangat diperkatakan mengenai maklumat yang diberikan oleh kerajaan ketika negara itu berdepan dengan banjir terburuk dalam tempoh puluhan tahun.

"Kami menyatakan kebenaran kepada rakyat Thailand. Kami tidak menyembunyikan sebarang maklumat daripada orang awam tetapi banjir kebetulan adalah amat kritikal.

"Kami tidak ada masa untuk bermain politik kerana kita perlu menyelesaikan masalah rakyat," katanya kepada pemberita di sini, pada Rabu.

Perdana Menteri itu memberi respon kepada satu soalan sama ada sudah tiba masa untuk kerajaan memaklumkan kisah sebenar apabila menyalurkan maklumat kepada orang awam.

Soalan itu timbul berikutan beberapa pihak percaya kerajaan menyekat beberapa maklumat kerana bimbang dengan tamparan politik. Lebih-lebih lagi, menurut tinjauan pendapat awam oleh Abac Poll baru-baru ini, rakyat memberi penarafan 3.4 daripada 10 mengenai prestasi menyeluruh Pusat Bantuan Operasi Banjir dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai.

Tambahan pula, 87 peratus responden menyifatkan maklumat dan berita dari pusat itu tidak boleh dipercayai manakala 86 peratus berpendapat pusat itu tidak memberikan maklumat yang jelas.

Menurut tinjauan itu, sistem amaran awal banjir mendapat penarafan hanya 3.1 daripada 10.

Kekecewaan orang awam semakin meningkat di sebalik arahan dalam beberapa kes di mana kilang dan orang awam diminta berpindah hanya selepas air banjir sudah sampai di depan pintu.

"Hari ini, kita berjuang menghadapi banjir besar. Kami tidak berjuang apa-apa lagi," kata Yingluck sambil menegaskan itu sahaja keutamaan kerajaan ketika ini.

Beliau meminta semua pihak memberi kerjasama kepada kerajaan dalam menangani krisis banjir itu serta menggesa orang ramai tidak mengalihkan beg pasir yang diletakkan sebagai penghadang banjir. Kira-kira satu pertiga daripada negara itu masih lagi ditenggelami banjir dengan 2.4 juta penduduk dari lebih 10,000 kampung di 27 wilayah di utara dan tengah negara itu terjejas akibat bencana itu yang melanda secara berperingkat sejak 25 Julai lalu.

Selain itu, lebih 14,000 buah kilang dengan lebih 660,000 pekerja turut terjejas.

Lembaga Pembangunan Sosial dan Ekonomi Kebangsaan Thailand (NESDB) menanggarkan kerugian akibat banjir di lima kawasan perindustrian dengan jumlah tenaga kerja lebih 220,000 pekerja di Ayutthaya mencecah 120 bilion Baht (kira-kira RM12 bilion).

Kawasan perindustrian terbaru yang dinaiki air ialah di Navanakorn yang menempatkan 227 buah kilang (180,000 pekerja) dan dengan pelaburan mencecah lebih 100 bilion Baht (kira-kira RM10 bilion).

NESDB menanggarkan kerugian dalam sektor pertanian pada kadar 40 bilion Baht (kira-kira RM4 bilion).

Menurut Kementerian Kewangan, bencana itu mungkin memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara itu sehingga 1.7 peratus tahun ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain