suria

Rakyat Malaysia Di Frankfurt Anjur Majlis Sambutan Aidilfitri

FRANKFURT: Walaupun tinggal jauh di perantauan, namun kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai oleh rakyat Malaysia di sini pada majlis khas yang diadakan pada Sabtu malam.

Majlis itu, yang berlangsung di Cosmopolitan Restaurant -- sebuah restoran terkemuka yang terletak di stesen kereta api yang terkenal kerana kesibukannya di bandar raya ini -- dihadiri hampir 300 tetamu dari jauh dan dekat.

Mereka dihidangkan dengan pelbagai jenis masakan tradisional Malaysia seperti rendang, ayam masak merah, nasi himpit berserta kuah kacang, dodol dan lontong.

Majlis anjuran bersama Malaysian Club Deutschland dan Pejabat Konsul Besar Malaysia di Frankfurt itu juga merupakan kesempatan pertama untuk Konsul Besar Malaysia John Samuel beramah mesra dan berkenal-kenalan dengan begitu ramai rakyat Malaysia di sini. Beliau menyandang jawatan itu sejak lima bulan lepas.

Turut hadir, isteri beliau Karen George, yang merupakan pengerusi Perwakilan, yang kata beliau anggotanya terdiri daripada "wanita yang amat berdedikasi dalam mencurahkan khidmat bakti kepada Malaysia".

Dalam temu bual dengan Bernama di restoran berkenaan, Karen berkata beliau kagum dengan semangat yang dipamerkan masyarakat Malaysia untuk menjayakan majlis itu.

Keperibadian Malaysia yang rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum begitu terserlah pada majlis itu apabila mereka berganding bahu untuk menjamin kejayaannya berlandaskan semangat 1Malaysia.

"Keutamaan saya sekarang ialah untuk mempelajari bahasa Jerman dan melibatkan diri dalam pelbagai kegiatan yang dianjurkan di sini. Saya sedar, tanpa memahami bahasa ini, saya tidak dapat mengenali Jerman," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain