China Batal Misi Selepas Roket Gagal Bawa Satelit

BEIJING: Sebuah satelit "percubaan" yang dilancarkan China gagal untuk sampai ke orbit yang disasarkan selepas roket yang membawanya mengalami kegagalan fungsi, demikian lapor media tempatan pada Jumaat.

Orbiter SJ-11-04, yang dibawa oleh roket Long March II-C dilancarkan pada Khamis namun gagal menyelesaikan misinya disebabkan roket yang gagal berfungsi dengan baik.

Laporan berita mengatakan satelit tersebut adalah satelit "eksperimen" namun keterangan lanjut tentangnya tidak diberitahu.

Para pemerhati dalam forum laman web NASASpaceFlight.com membuat spekulasi bahawa China akan menggunakan satelit tersebut sebagai sebahagian operasi sistem amaran awal pertahanan negara ini namun dakwaan itu tidak dapat disahkan dengan sumber rasmi.

Menurut forum tersebut, ia adalah kegagalan pertama China melancarkan roket Long March II-C selepas berjaya melancarkannya sebanyak 35 kali sebelum ini dan ia merupakan kali kedua China terpaksa membatalkan misi satelitnya sejak Februari 1996.

Pihak berkuasa dikatakan sedang menyiasat punca spesifik yang menyebabkan kegagalan fungsi roket tersebut.

China merupakan negara ketiga selepas Rusia dan Amerika Syarikat yang berjaya menghantar angkasawan pergi ke angkasa lepas secara bersendirian dan kejayaan China dalam bidang astronomi menjadi lambang kemajuannya. -AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain