suria

Dera Anak Angkat, Wanita Dibicarakan

ALASKA (Amerika Syarikat): Seorang wanita pada Rabu didakwa di atas kesalahan mendera kanak-kanak selepas satu rakaman video yang menunjukkan dia memasukkan sos pedas ke dalam mulut anak angkatnya dan menyuruh kanak-kanak itu berdiri di bawah siraman air sejuk ditayangkan di dalam satu rancangan televisyen.

Anak angkatnya itu berasal dari Rusia.

Dan video menyayat hati itu yang menunjukkan perbuatan Jessica Beagley,36, ke atas anak angkatnya itu telah mencetuskan kemarahan orang ramai khususnya di Rusia dan telah disaksikan oleh pihak juri dalam kes tersebut.

Peguam bela, William Ingaldson berkata wanita itu hanya mendenda kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang berasal dari Rusia itu kerana dia berkelakuan nakal di sekolah dan menipu mengenainya.

Menurut Ingaldson, Beagley menggunakan cara denda tersebut kerana 'cara tradisional' yang digunakan sebelum ini tidak berkesan terhadap kanak-kanak itu.

Beagley kemudian hadir dalam satu rancangan televisyen bernama "Dr Phil" dalam usahanya untuk mendapatkan bantuan nasihat.

Sejak itu, isu tersebut mendapat perhatian umum.

Namun pihak pendakwa raya berpendapat wanita itu telah melakukan perbuatan melampaui batas dalam mengajar kanak-kanak itu dan ia merupakan perbuatan mendera kanak-kanak.

Video berdurasi sembilan minit tersebut bertarikh 31 Oktober 2010 dan disiarkan dalam episod "Mommy Confessions" (Pengakuan Ibu).

Dalam video tersebut, Beagley berulang kali memarahi kanak-kanak itu dan bertanya kepadanya kenapa dia menipu kemudian memasukkan sos pedas ke dalam mulut kanak-kanak itu.

Beagley kemudian memandikan kanak-kanak itu dengan pancuran air sejuk dan kanak-kanak malang itu menjerit kesejukan.

Para penonton rancangan Dr Phil kemudian menghubungi polis untuk melaporkan mengenai episod yang disiarkan pada November lepas.

Beagley dan suaminya yang merupakan seorang anggota polis memberi peluang kepada anak-anak yatim untuk mempunyai kehidupan yang lebih baik, kata Ingaldson.

Pasangan suami isteri yang mempunyai empat anak kandung itu mengambil sepasang kanak-kanak lelaki kembar dari Rusia itu selepas mereka tinggal di rumah anak yatim selama tiga tahun.

Mereka mempunyai ibu bapa yang bermasalah dan pernah tidur di rak almari, katanya. -AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain