suria

Polis Jepun Guna DNA Kenalpasti Mangsa Tsunami

TOKYO: Sebuah pangkalan data DNA akan dibina oleh polis Jepun untuk mengenalpasti mangsa yang terbunuh dalam gempa bumi tsunami 11 Mac lalu.

Menurut laporan agensi berita AFP, pihak polis dari wilayah Iwate, Miyagi dan Fukushima akan mengumpul sampel DNA dari barang kepunyaan mangsa yang masih gagal dijumpai dan juga dari ahli keluarga mangsa.

AFP yang memetik badan penyiaran NHK berkata, beribu mayat mangsa yang tidak dikenali identiti mereka telah ditemui di kawasan runtuhan, paya dan pantai sejak tsunami besar yang berskala 9.0 magnitut dan gempa bumi susulan yang memusnahkan wilayah timur laut negara itu pada 11 Mac lalu.

Angka rasmi menunjukkan, sebanyak 10,808 mangsa masih dilaporkan hilang sehingga petang kelmarin dengan 14,728 mangsa kehilangan nyawa.

Polis telahpun melakukan ujian DNA untuk mengenalpasti mangsa tetapi akan meningkatkan usaha mereka disebabkan kebanyakan mayat yang dijumpai telah rosak teruk lantas menyukarkan proses pengenalpastian dan boleh menyebabkan keluarga mangsa trauma, NHK dipetik sebagai berkata.

Dalam pada itu, Kyodo News pula dipetik sebagai berkata, pihak berwajib akan mula mengambil sampel DNA daripada ahli keluarga mangsa yang hilang pada pertengahan bulan Mei.

Artikel Lain