suria

PM Lee Gesa Pengundi Muda 'Hati-hati Pilih Parti'

SINGAPURA: Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, mengingatkan rakyat Singapura mengenai "cubaan mengubah sistem yang telah membawa kejayaan cemerlang kepada negara untuk sekian lama."

Berucap pada perhimpunan jamuan tengah hari di kawasan pusat perniagaan di sini, Lee berkata terdapat banyak pengundi muda dalam pilihan raya kali ini termasuk mereka yang akan mengundi buat pertama kali.

Katanya kumpulan itu mempunyai perspektif berbeza mengenai dunia mereka lebih idealistik, gemar menyoal dan mencari sesuatu untuk diperjuangkan dan nilai-nilai untuk didukung.

Beliau berkata pengundi muda juga amat berbeza dengan pengundi lebih berusia, yang akan mengundi berdasarkan naluri dan kesetiaan.

Mesej Lee kepada pengundi muda: "Fikirkan mengenai apa yang setiap parti boleh tawarkan, dapat memberikan khidmat terbaik dan mempunyai perancangan yang dapat menjamin masa depan lebih cerah.

"Negara ini milik anda...untuk anda bangunkan," katanya seperti dipetik oleh saluran televisyen tempatan, Channel NewsAsia. Perdana Menteri berkata parti People's Action Party (PAP) turut membabitkan golongan muda mengikut cara berbeza. Penyokong PAP aktif di lapangan dan juga di Internet, tambahnya.

Lee berkata tempoh lima tahun lepas "agak bergelora" tetapi menegaskan Singapura berjaya mencatatkan prestasi baik dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata negara bukan sahaja berdepan masalah ekonomi tetapi juga isu keselamatan dan menurutnya walaupun Osama bin Laden dibunuh pada Isnin lepas, ancaman keselamatan terus wujud.

Merujuk kepada gesaan pembangkang bagi suara alternatif di Parlimen, Lee berkata Singapura telahpun melaksanakan sistem pelbagai parti dengan PAP sebagai parti dominan.

"Ini kerana parti ini mempunyai pasukan terkuat dan keyakinan rakyat Singapura," katanya dan menambah sistem politik Singapura adalah "terbuka".

Lee berkata adalah mudah bagi parti-parti untuk memasuki arena dan mencabar PAP. "Apa yang mendorong MP (anggota Parlimen) PAP terus bekerja keras ialah risiko kehilangan sokongan pengundi," tegasnya.

Menyentuh pertandingan di kawasan Ang Mo Kio yang diwakilinya, Lee berkata adalah baik kerana kebanyakan kerusi menyaksikan pertandingan pada pilihan raya kali ini.

Katanya secara puratanya standard pembangkang semakin meningkat dan keadaan itu adalah baik kerana PAP perlu bekerja lebih keras untuk meraih undi.

Beliau mendapati keadaan itu juga memberikan banyak kebaikan kerana pengundi perlu memberikan perhatian, menilai pilihan mereka dengan berhati-hati dan memutuskan parti mana yang telah memberikan khidmat terbaik di kawasan mereka dan juga dalam kerajaan.- BERNAMA

Artikel Lain