suria

Mustapa Perjelas Konsep 1Malaysia Kepada Pelajar Malaysia Di Australia

MELBOURNE: Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam memberi penjelasan tentang objektif 1Malaysia dan Program Transformasi Ekonomi (PTE) kepada pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di sini.

Berucap pada satu seminar anjuran Kelab UMNO Australia Melbourne (KUAM) di University of Melbourne, tempat beliau menimba ilmu suatu ketika dulu, Mustapa berkata 1Malaysia adalah suatu prinsip yang telah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Katanya konsep itu telah diperjuangkan sejak zaman pentadbiran Perdana Menteri Malaysia pertama Tunku Abdul Rahman, yang mahu agar rakyat daripada pelbagai kaum bekerjasama dan menghormati satu sama lain.

Beliau bagaimanapun berkata untuk memastikan kejayaan 1Malaysia, semua rakyat Malaysia terlebih dahulu perlu memahami konsep itu.

"1Malaysia ada banyak dimensinya, satu daripadanya ialah untuk memperkukuhkan integrasi antara wilayah di negara kita.

"Satu dimensi lagi ialah merapatkan jurang perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar. Ia juga bertujuan merapatkan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin. Satu dimensi lagi ialah menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada penduduk luar bandar," katanya.

Mustapa berkata kerajaan akan mengumumkan pelan tindakan ekonomi secara terperinci ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dalam segenap aspek pada majlis pelancaran PTE 26 Oktober ini.

Program itu akan meliputi 12 bidang yang telah dikenal pasti oleh sektor swasta dan kerajaan. Beliau bagaimanpun tidak memberi penjelasan tentang bidang berkenaan.

Pada sesi soal-jawab dengan peserta, Mustapa memberi penjelsan tentang beberapa inisiatif dan dasar kerajaan.

Mengenai tender kerajaan dan persaingan secara terbuka, beliau berkata kerajaan menggalakkan persaingan secara terbuka.

"Sekiranya ada sesiapa yang mendapat tender secara rundingan terus, ia dianggap tidak adil. Maksud saya ia sesuatu yang tidak adil," kata beliau. Mustapa berkata hanya projek bertahap keselamatan tinggi, yang melibatkan tentera serta pertahanan, dikecualikan daripada tender terbuka.

Kata beliau: "Tender terbuka bererti lebih banyak persaingan, lebih tinggi ketelusan, tidak ada rasuah. Itulah yang orang ramai mahu. Dan kami mendengar suara orang ramai."

Beliau berkata kerajaan mewujudkan laman web untuk menyiarkan maklumat tentang tender kerajaan, termasuk nama pemenang tender.

Sejak 2007, KUAM menganjurkan seminar pembangunan insan dan menjemput tokoh penting Malaysia, termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2008, untuk memperkatakan tentang isu berkaitan Malaysia.

Dr Mahathir, 85, dijadualkan berucap sekali lagi pada seminar tersebut pada tahun ini, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan, semalam.

Beliau meminta Mustapa, yang berada di Melbourne selepas menghadiri Persidangan Forbes Global CEO di Sydney, untuk berucap bagi pihaknya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain