suria

Nassier Wahab meninggal dunia selepas muntah darah

Nassier menghidap kanser gusi sejak lima tahun lalu.

PENYANYI popular era 1980-an, Datuk Nassier Wahab atau nama sebenarnya Mohd Nasir Abd Wahab meninggal dunia di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya, Petaling Jaya kira-kira pukul 12.45 pagi Khamis.

Berita sedih ini dikongsikan rakannya, penyanyi Zur Eda menerusi kiriman WhatsApp kepada rakan-rakan artis.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tarik balik poster atau kena tindakan?” - Nassier Wahab bukan jurucakap skim pelaburan penipu

“Innalillahiwainnailaihirojiun... Dukacita dimaklumkan Datuk Hj Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 12.45 pagi di Pusat Pakar Perubatan Universiti Malaya.

“Mohon sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan kita doakan semoga roh arwah akan ditempatkan bersama roh para solehin. Al-Fatihah,” katanya menerusi kiriman tersebut.


Antara rakan artis yang turut bersedih dan berkongsi berita pemergian Allahyarham Nassier.

Rata-rata rakan artis meluahkan rasa terkejut dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

Dalam pada itu pembantunya iaitu Aliff Salim berkata, keadaan Nassier yang agak pucat menyebabkan doktor menasihatinya agar menjalani rawatan menambah darah pada Selasa lalu.

Bagaimanapun Nassier menunjukkan keadaan luar biasa apabila dia muntah darah yang banyak sehinggalah dia disahkan meninggal dunia pada awal pagi Khamis.

Selain Aliff, isteri Allahyarham iaitu Fatimah Abd Rauf, 56, turut berada bersamanya semasa kejadian.

Pada 1 Jun lalu, Nassier, 57, menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri akibat kanser gusi yang dihidapinya.

Akibat penyakit berkenaan, dia sentiasa mendapatkan rawatan susulan dengan melakukan radioterapi dan kimoterapi di pusat perubatan yang sama.

Beliau mula mengalami penyakit itu sejak lima tahun lalu apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.

Selain isteri, Nassier meninggalkan seorang anak perempuan iaitu Intan Najihah yang kini berusia 22 tahun.

Lagu-lagu popular Allahyarham yang sering mendapat perhatian ialah Memori Cinta Luka, Sekali Aku Jatuh Cinta dan Bayangan Wajah Luka.

Antara filem lakonannya ialah Si Jantung Hati yang diterbitkan pada tahun 1986.

Pada tahun 2017, Nassier dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) membawa gelaran Datuk yang disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Jenazah akan dimandikan di Masjid Batu Belah, Klang pada pukul 8 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Batu Belah kira-kira pukul 10 pagi.

Nassier Wahab

Artikel Lain