suria

Kerap cuci tangan itu baik tapi boleh sebabkan kulit jadi kasar... Ini 3 cara melembutkannya!

Kerap mencuci tangan boleh menyebabkan kulit menjadi kering dan kasar.

MEMAKAI pelitup muka, menjaga jarak sehinggalah kerap mencuci tangan menggunakan sabun sudah menjadi amalan biasa agar terlindung daripada jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun terlalu kerap mencuci tangan atau memakai hand sanitizer juga boleh menyebabkan pelbagai masalah kulit dan paling biasa adalah kulit kering dan kasar.

Bagi mencegahnya, anda boleh melakukan beberapa perkara ini.

1. Aloe vera

Aloe vera atau gel lidah buaya masih jadi kegemaran ramai orang untuk mengatasi masalah kulit. Mempunyai pelbagai nutrisi, ia mampu menenangkan dan melembapkan kulit.

Sapu gel lidah buaya di tangan anda. Gosokkan kedua tangan anda bagi membolehkan ia menyerap ke dalam kulit. Lakukan proses ini beberapa kali sehari dan anda akan melihat perubahannya.

2. Minyak kelapa

Minyak kelapa terbukti menjadi bahan yang baik untuk melembapkan kulit. Minyak ini memiliki sifat emolien yang membantu memberikan kelembapan pada kulit.

Tuangkan beberapa titis minyak kelapa ke tangan anda dan gosokkan kedua-dua tangan anda untuk memastikan ia meresap ke seluruh tangan.

Sambil menyapu minyak kelapa, urut tangan anda bagi membantunya menyerap dengan lebih baik.

3. Madu

Pelbagai kajian telah membuktikan madu bukan sahaja mempunyai pelbagai khasiat tetapi mampu melembapkan kulit.

Madu adalah humektan yang menarik kelembapan ke kulit, menjadikannya cantik dan terhidrat. Selain itu, ia juga sangat bermanfaat dalam meremajakan kulit dan menambahkan cahaya semula jadi.

Gosokkan madu ke seluruh tangan anda. Urut kulit selama beberapa minit. Biarkan selama 10-15 minit. Kemudian bilas menggunakan air biasa. Lakukan kaedah ini setiap hari untuk mendapatkan tangan yang lembut dan terhidrat.

Petua agar tangan tetap lembut dan lembap

1. Waktu terbaik untuk melembapkan tangan dan melembutkannya adalah ketika tangan anda masih dalam keadaan lembap. Ertinya, jangan tunggu tangan sudah kering baru disapu madu atau gel lidah buaya.

2. Pakai pelembap selepas mandi. Pakai losyen badan dan pelembap saat tubuh masih basah.

3. Jangan cuci tangan dengan air panas atau suam. Air panas menghilangkan minyak semula jadi dan kelembapan pada rambut dan membuatnya nampak kering dan kusam.

4. Penting untuk menggunakan sarung tangan ketika melakukan pekerjaan rumah seperti mencuci pinggan jika anda mengalami masalah kulit kering.

Sabun pencuci pinggan mengandungi bahan kimia yang dapat membuatkan tangan kering dan kasar.

Artikel Lain