suria

Oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia... dua pereka fesyen terkenal bergabung hasilkan #UnityMasks

Dua pereka fesyen terkenal, Tom Abang Saufi dan Melinda Looi bergabung menghasilkan #UnityMasks sebagai penghargaan kepada rakyat Malaysia.

DUA pereka fesyen terkenal Malaysia, Tom Abang Saufi dan Melinda Looi berganding bahu melancarkan topeng muka dalam memberi mesej kepada orang lain.

Topeng muka yang diberi nama #UnityMasks itu menampilkan bendera Malaysia serta bendera setiap negeri.

"Topeng muka ini dibuat oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia. Ayuh kita semua sentiasa bersikap positif tentang masa depan kita, masa depan Malaysia," tulis Melinda di laman web rasminya.

ARTIKEL BERKAITAN: Aidilfitri gaya Covid-19, pereka fesyen tampil dengan topeng sedondon baju raya... fesyen oversize nampak selesa!

Meskipun ia sekadar topeng muka namun mesej yang ingin disampaikan oleh kedua-dua pereka fesyen ini jelas dengan slogan “Protect, Unite, Remember”.

Ia dihasilkan sebagai memberi penghormatan kepada rakyat negara ini yang mematuhi arahan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak ia diperkenalkan 18 Mac lalu dan ditujukan kepada barisan hadapan yang berkorban memerangi wabak Covid-19.



Sebanyak 10 peratus daripada hasil penjualan #UnityMask akan didermakan kepada golongan memerlukan.

Selain mengangkat semangat kebersamaan, kerjasama itu juga bertujuan untuk membantu golongan memerlukan apabila 10 peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada badan amal di Malaysia.

"Projek ini bertujuan untuk memupuk semangat positif, rasa bangga dan penyatuan negara pada waktu sukar ini," kata Tom dan Melinda.

Dalam pada itu, Melinda menjelaskan, #UnityMasks bukan topeng perubatan namun ia boleh dicuci dan digunakan semula.

Ia didatangkan dengan poket untuk penapis serta dilengkapi dengan wayar pada bahagian atas topeng untuk disesuaikan dengan wajah seseorang selain tali elastik.

Tom terkenal sebagai pereka fesyen dengan cetakan etnik Borneo manakala Melinda sering tampil dengan rekaan avant-garde menggabungkan elemen moden dan berani.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain