suria

Sanggup kutip daun keladi tepi jalan buat fotografi promosi koleksi raya - “Pastikan usaha tak sia-sia... nak beri kegembiraan sempena Aidilfitri”

Arma Couture menampilkan koleksi Couple Set bagi pasangan yang ingin tampil sedondon di pagi Aidilfitri. - Foto Instagram @armacouture

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang diperkenalkan kerajaan sejak 18 Mac lalu memberi pelbagai kesan kepada ramai orang termasuk pereka fesyen, Arma Abd Rahman.

Mana tidaknya, semua perancangan berhubung koleksi baju Hari Raya Aidilfitri yang telah dibuat sejak awal tahun terpaksa ditunda bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan kerajaan bagi membendung penularan Covid-19 yang sedang berleluasa ketika itu.

Namun itu tidak menghalang Arma, pemilik jenama Arma Couture untuk mengorbankan segala penat lelah yang telah dilakukan sebelum ini selain tetap mahu memberi kegembiraan kepada orang lain bersempena kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Jakel tawar diskaun sempena 10 hari terakhir Ramadan... tak dapat balik beraya, masih boleh tampil bergaya!

Berbekalkan semangat itu, Arma memberitahu dia tetap jalan terus bagi menyiapkan semua koleksi yang sepatutnya dijual di pusat beli belah Sogo Kuala Lumpur.



Pilihan warna kosong bukan sahaja ringkas tetapi tampak cukup bergaya.

"Tahun ini sebenarnya bermula dengan sangat baik tetapi Allah itu mempunyai perancangan lain buat kita semua dan apa yang terjadi diluar kawalan sesiapa pun.

"Seperti saya sendiri, baju semua sudah siap, tinggal beberapa perkara kecil lain seperti kemasan pada pakaian serta sesi fotografi untuk tujuan promosi koleksi terbaharu itu.

"Apabila PKP dilaksanakan, semua yang dirancang terpaksa dibatalkan. Kita perlu patuh arahan dikeluarkan demi kebaikan semua," katanya kepada mStar.

Kutip daun keladi sebagai 'prop' sesi fotografi

Turut terkesan dengan PKP, Arma bagaimanapun memberitahu dia sentiasa bersikap positif dan mengambil peluang ini untuk menjadi seorang yang lebih kreatif bagi memastikan semua usahanya tidak sia-sia.



Arma memberitahu koleksinya itu boleh didapati di pusat beli belah Sogo.

Malah Arma memberitahu dia sanggup mengutip daun keladi di tepi jalan sebagai 'prop' ketika sesi fotografi koleksinya yang dilakukan sendiri menggunakan telefon.

"Bayangkan kami hanya berlima iaitu dua model dan dua pembantu, kami sama-sama jayakan sesi fotografi kerana tidak boleh ramai-ramai dalam satu premis pada satu masa.

"Sayalah jurugambar, buatkan styling model, edit sampai sanggup cari daun keladi untuk dijadikan prop penggambaran.

"Tapi Alhamdulillah dalam waktu sukar ini, kami berjaya hasilkan gambar yang cantik dan ramai beritahu ia seperti menggunakan khidmat jurugambar profesional!," jelasnya.



Arma tetap menyiapkan koleksi hari raya meskipun negara kini sedang dalam PKP.

Koleksi sedondon tarikan Arma Couture

Bercakap mengenai koleksinya tahun ini, Arma memberitahu dia tampil dengan dua konsep iaitu sedia dipakai dan 'couple set' bagi pasangan yang ingin tampil sedondon pada pagi Aidilfitri.

Jelasnya, dia gembira kerana tampil dengan dua konsep itu kerana ia cukup bersesuaian dengan situasi semasa memandangkan pergerakan kita terbatas.

Secara keseluruhan, Arma memberitahu dia menghasilkan 10 warna kosong dan cetak bagi kedua-dua koleksi itu bagi membolehkan pelanggan membuat pilihan.

"Meskipun Aidilfitri sudah hampir tiba, saya percaya ramai daripada kita tetap ingin tampil cantik dan bergaya pada pagi raya meskipun hanya berhari raya di rumah.



Meskipun sibuk, Arma tetap mengambil peluang untuk membantu menghasilkan PPE untuk kegunaan staf hospital.

"Koleksi couple set cukup mudah bagi pasangan suami isteri yang ingin tampil sedondon selain boleh juga buat pembelian secara berasingan," katanya.

Arma juga memberitahu dia hanya menghasilkan baju kurung moden dan baju kurung kedah selain kurta bagi lelaki dengan potongan ringkas dan selesa.

Koleksi diberi nama Arma Atelier 2020 - Classic Raya itu kini boleh didapati di pusat beli belah Sogo dan tempahan dalam talian menerusi Instagram Arma Couture dengan harga mampu milik serendah RM89 hingga RM350 (couple set).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Arma Couture, Fesyen, Aidilfitri, Covid-19, PKP

Artikel Lain