suria

Padah tak baca doa memulakan perjalanan dan ayat Kursi, langsuir ‘ikut’ balik dari kampung! Mula ‘mengganas’ lepas 12 tengah malam

Zulaika terkejut melihat langsuir di dalam rumahnya selepas pulang dari kampung. -Gambar hiasan (Facebook)

SELEPAS seminggu beraya di kampung halaman, Zulaika kembali ke rumah sewanya di Kota Kemuning, Selangor.

Perjalanan pulang ke rumah yang mengambil masa enam jam dari Ayer Keroh, Melaka gara-gara kesesakan lalu lintas ini cukup memenatkan badan.

Sejurus tiba di kediamannya, Zulaika membuka pintu rumah lalu menunduk untuk menanggalkan kasut yang dipakai dalam suasana yang gelap.

Sewaktu sedang mengurai tali kasut sneakers yang dipakai, dia merasakan seolah-olah ada tiupan angin sejuk melintas di belakangnya lalu masuk ke dalam rumah.

Zulaika kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah ruang tamu yang dilengkapi dengan perabot seperti televisyen, coffee table dan sofa.

Alangkah terkejutnya Zulaika apabila pandangan mata kasarnya tertumpu ke arah susuk tubuh seorang wanita berambut panjang dan berpakaian putih bertenggek di atas sofa.

"Astargfirullahalazim, Allahuakbar!," ujar Zulaika yang terkejut dengan apa yang disaksikannya.

Seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihat, wanita itu bangun lalu menghidupkan lampu ruang tamunya dengan segera.

Gambaran kelibat entiti mistik di dalam sebuah rumah. -Gambar hiasan (Facebook)

Namun, entiti tersebut hilang daripada tempat duduk berkenaan membuatkan timbul rasa seram dan sejuk bagi Zulaika.

Memikirkan dia bakal mula bekerja semula pada awal pagi Isnin, Zulaika mengendahkan apa yang berlaku sebentar tadi.

Dia cuba memberanikan diri dengan menghidupkan televisyen bagi memecah kesunyian malam dalam keadaan masih ketakutan.

Tanpa berfikir panjang, dia yang tinggal bersendirian terus membersihkan diri dengan mandi seperti rutin hariannya sebelum tidur.

Sewaktu sedang mandi sekitar pukul 12 tengah malam, tiba-tiba televisyen yang dipasang Zulaika senyap seolah-olah dimatikan 'seseorang'.

Zulaika yang sudah basah kuyup di dalam bilik mandi terdiam selepas menyedari perkara itu.

Sekali lagi, Zulaika dengan hati yang berdebar memberanikan diri untuk melihat apa yang berlaku di ruang tamu rumahnya.

Ketika berjalan perlahan ke ruang tamu, dia melihat susuk tubuh hantu langsuir berdiri di atas sofa sedang memandang tepat ke arahnya.

Gangguan makhluk halus biasanya terjadi pada waktu malam. -Gambar hiasan (Facebook)

Lebih mengerikan apabila entiti itu bingkas menerpa ke arahnya dengan wajah yang menakutkan.

Gara-gara terlalu takut, Zulaika yang cuba berlari ke arah biliknya tersungkur hingga pengsan dek kerana lantai yang licin.

Dia hanya terjaga daripada pengsan selepas terdengar azan Subuh yang berkumandang pada pagi Isnin.

Kisah gangguan mistik yang dialami segera disampaikan kepada ibu bapanya di kampung sejurus dia tiba di pejabat.

Namun alangkah terkejutnya kerana menurut bapanya, pada malam dia pulang ke ibu kota, orang kampung melihat Zulaika membawa bersama 'seorang' wanita yang berada di tempat duduk belakang keretanya.

Ternyata, entiti tersebut sudah mengikutinya 'pulang' ke Kota Kemuning sejak dari Melaka lagi.

Enggan membiarkan perkara lebih buruk terjadi, Zulaika memanggil seorang ustaz untuk menghalau entiti tersebut pada hari yang sama.

Kejadian pada malam tersebut cukup memberi pengajaran buatnya supaya memulakan perjalanan dengan membaca ayat Kursi dan doa menaiki kenderaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain