suria

Wanita ini buat pengakuan bebas keluar masuk alam bunian, siap ada keluarga angkat! Ustaz pesan hati-hati guna ‘kelebihan’

Raudatul sering memasuki alam bunian ketika tidur.

ACAP kali kita dengar bahawa alam bunian akan dikaitkan dengan kejadian orang hilang di hutan.

Malah banyak kejadian yang dilaporkan itu mengambil masa berhari-hari sebelum mangsa hilang dijumpai.

Namun situasi berbeza menimpa Raudatul Hadawiyah apabila dia mendakwa sering keluar masuk ke alam bunian menerusi mimpi.

Malah, wanita berusia 27 tahun itu juga mendakwa mempunyai keluarga angkat bunian yang terdiri daripada empat anak gadis.

ARTIKEL BERKAITAN: Selama 15 tahun asyik keguguran, pakcik jubah putih beri petunjuk... rupanya janin 'dimakan' penunggu rumah sewa

Berkongsi cerita kepada mStar, ibu kepada sepasang cahaya mata ini berkata, dia sudah lama 'keluar masuk' alam bunian dan sering mimpikan lokasi atau perkampungan yang berbeza setiap malam.

"Sejak remaja lagi saya dah perasan asyik mimpi di tempat berlainan, tapi masa tu rasa tak ada apa.

"Cuma apabila sekarang ni, barulah saya terfikir kenapa asyik mimpi macam tu... kemudian saya pergi berubat untuk mengetahuinya dan ramai yang menyatakan saya tidak diganggu tetapi diberi kelebihan menerusi mimpi," ujarnya ketika dihubungi mStar.

'Orang' yang dilihat Raudatul tidak mempunyai wajah.

'Orang' yang dilihat Raudatul tidak mempunyai wajah.

Katanya, meskipun ingin mengetahui setiap maksud mimpi, dia tidak berani untuk mencari lokasi yang digambarkan.

Tambahnya, 'orang' yang ditemui di dalam mimpi juga tidak pernah sama.

"Mereka macam biasa nampak saya dan kami akan saling berpandangan, tapi tak berbual pun kerana saya seperti singgah ke kampung tu untuk melawat.

"Daripada segi layanan, mereka akan iring dan teman saya jalan tengok kawasan... tidak nampak muka, cuma bentuk orang.

"Tempat yang saya pergi pun kelihatan suram dan gelap serta berkabus. Rumah pula jenis kayu macam masyarakat dulu-dulu," ceritanya sambil menggambarkan kesemua yang dilihat di dalam mimpi berpakaian songket serta cantik.

Ustaz juga ada pesan supaya saya berhati-hati kerana bimbang pengsan semasa berada dalam mimpi tu.

RAUDATUL HADAWIYAH

Menurutnya lagi, selain sering mengalami mimpi bersama bunian dia juga dapat merasakan kehadiran benda ghaib di alam nyata.

Pun begitu, apa yang dilihat hanyalah kelibat hitam semata-mata.

"Saya tak nampak rupa mereka betul-betul. Pernah satu masa, dekat hutan area rumah saya... ingatkan batang kayu, apabila perhatikan ia bentuk badan manusia tapi tidak berwajah.

"Pada masa tu dia tengah duduk dan ingin ambil sesuatu seolah-olah terkeluar dari kawasannya. Kami juga saling berpandangan tapi dia tak ada wajah," tambahnya.

Raudatul juga memaklumkan bahawa dia banyak mendapat petanda melalui mimpi seperti berkaitan kehamilan, jantina dan nama anak.

"Saya mimpi mengandung dan tahu jantina anak sebelum scan, nama anak sulung juga dari mimpi.

Raudatul bersama suami dan anak-anaknya.

Raudatul bersama suami dan anak-anaknya.

"Masa tu saya dekat laut, air jernih dan ada batu... saya terjumpa seseorang yang menyerupai anak saudara saya dan dialah yang bagi nama anak sulung saya, kemudian tiba-tiba air laut naik dan ada seseorang selamatkan saya.

"Semasa anak kedua pula, saya bermimpi akan hamil anak perempuan dan dimaklumkan yang anak tu akan aktif serta cerdik," katanya.

Bercerita lanjut, ujarnya, selepas mendapatkan rawatan daripada beberapa ustaz, apa yang dialaminya itu dikatakan sebagai 'warisan' daripada keluarga sebelah bapanya.

Pun begitu, ia bukanlah saka malah tidak akan 'sembuh' serta akan terus memasuki alam bunian meskipun berubat.

Tambahnya, kelebihan yang dimiliki itu juga membolehkannya dia mengamalkan ilmu perubatan tradisional seperti bapa dan kakaknya.

"Namun saya masih tidak yakin untuk melakukannya. Kakak pun hanya berubat ahli keluarga sahaja.

"Ustaz juga ada pesan supaya saya berhati-hati kerana bimbang pengsan semasa berada dalam mimpi tu.

"Katanya mungkin saya perlukan orang untuk pimpin saya keluar jika ia berlaku," tambahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain