suria

Cleaner ada belaan! Bangun jam 3 pagi kunyah tulang, lidahnya panjang jilat sisa makanan di lantai

Lidah panjang Nora yang menjilat pinggan menggerunkan Mayang. - Gambar: Rashid Salim

"MUNGKIN sudah menjadi kelaziman bagi rakan serumah membiarkan sahaja sisa makanan dan pinggan mangkuk kotor di dalam sinki," ujar Mayang memulakan bicara.

Mengakui terkejut melihat keadaan dapur seperti tongkang pecah, langkah kaki yang menuju ke bilik air untuk mandi akhirnya terhenti.

Lantas dia terus ke sinki cuba untuk membersihkan dapur yang berselerak dan turut dipenuhi sisa makanan serta sampah plastik.

Baginya, adat menumpang rumah orang, sedikit sebanyak pasti ingin membantu meringankan kerja tuan rumah tambahan pula rumah sewa itu adalah milik kawan kepada tunangnya.

"Saya namakan kawan tunang sebagai Alya... saya terpaksa tumpang bermalam di rumahnya kerana pada keesokan pagi perlu menghadiri sesi temuduga di sebuah syarikat kejuruteraan," luahnya yang tiba di rumah tersebut selepas menikmati makan malam bersama tunangnya.

Apabila tiba, kelihatan Alya dan beberapa orang temannya sedang makan malam.

Mereka turut mengajaknya makan bersama, namun, Mayang terpaksa menolak kerana sudah makan.

Dia kemudian terus berjalan ke arah bilik yang ditunjukkan Alya.

Bagaimanapun, terdapat seorang perempuan dianggarkan umur sebayanya sedang berbaring menghadap dinding.

Keadaan sinki rumah Alya yang berselerak. - Gambar hiasan

Keadaan sinki rumah Alya berselerak. - Gambar hiasan

Tanpa berlengah, Mayang terus meminta maaf kerana menyangkakan bilik yang bakal didiami malam itu kosong.

"Wanita terbabit lantas berkata 'tidak apa, Alya dah bagitahu awak nak tumpang tidur sini'. Tetapi dia langsung tidak memandang ke arah saya ketika itu," luahnya.

Disebabkan bimbang kehadirannya tidak disenangi dan mengganggu privasi, Mayang menyatakan hasrat untuk tidur di ruang tamu.

Namun, wanita terbabit menahan dan menyatakan yang bilik dan katilnya luas jika Mayang ingin tidur bersama.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit mengamuk di wad dedah di bahunya ada budak bertenggek, tak lama kemudian beritahu ‘dia nak ikut doktor balik’

"Dia cakap lembut sambil berpaling memandang saya. Saya hanya tersenyum dan mencapai tuala untuk mandi kerana memang sudah menjadi rutin harian saya untuk mandi sebelum tidur.

"Keluar dari bilik, saya lihat rakan-rakan Alya sudah berada dalam bilik sendiri. Jadi saya terus ke dapur.

"Keadaan dapur yang agak berselerak itu mengganggu emosi saya. Pinggan mangkuk yang tidak bercuci itu ditinggalkan begitu sahaja tanpa membuang sisa-sisa dan tulang-tulang ke dalam tong sampah.

Tiba-tiba saya terdengar seperti orang sedang mengunyah tulang. Sesekali ada suara seperti menelan makanan dengan rakusnya.

MAYANG

"Adat menumpang, saya cuba untuk membantu. Saya masukkan plastik-plastik yang bertaburan dalam sinki ke dalam tong sampah dan sisa-sisa makanan itu saya himpun dalam beg plastik," jelasnya.

Bagaimanapun, tiba-tiba Alya berada di belakangnya dan memintanya tidak melakukan kerja pembersihan.

Malah katanya, ia akan dilakukan oleh Nora iaitu wanita dari bilik yang ditumpangnya itu.

"Alya kemudian bagitahu yang bilik saya tidur adalah bilik Nora.

"Nora adalah cleaner kat kilang mereka bekerja, jadi dia diupah untuk kemas-kemas rumah juga supaya dapat sedikit duit lebih," kata Mayang.

Dapur yang gelap disusuli bunyi orang sedang mengunyah tulang.

Dapur yang gelap disusuli bunyi orang sedang mengunyah tulang.

Mendengarkan kata Alya, akhirnya dia melupakan hasrat untuk membantu membersihkan sinki dan mencuci pinggan mangkuk tersebut dan meneruskan langkah untuk mandi.

Semasa menarik selimut untuk tidur, Nora memaklumkan yang dia akan ke dapur untuk mengemas.

"Jadi, saya bertanya sama ada dia perlukan bantuan atau tidak kerana memikirkan dapur sangat berselerak. Tapi Nora menolak dan menyatakan saya sangat baik.

"Tepat pukul 3 pagi saya terjaga dan Nora masih belum kembali ke bilik. Tekak pula mula berasa haus dan saya bangun untuk mendapatkan air di dapur.

"Tapi lampu tidak dinyalakan. Tiba-tiba saya terdengar seperti orang sedang mengunyah tulang. Sesekali ada suara seperti menelan makanan dengan rakusnya.

"Saya beranikan diri menghampiri arah bunyi tersebut untuk memastikan apa yang saya dengar... masa tu memang terkejut sebab nampak Nora sedang meratah sisa-sisa tulang dan menjilat bekas-bekas makanan yang telah saya buang ke dalam tong sampah," luahnya.

Menurut Mayang, lebih menggerunkan adalah lidah Nora yang panjang jelas kelihatan menyapu semua sisa-sisa di pinggan sehingga licin.

Disebabkan takut dan terkejut, dia segera berlari ke bilik dan berselubung dengan selimut.

"Tidak lama kemudian, Nora kembali ke bilik dan berkata 'apabila dah dapat kerja, jangan menetap di sini... Jangan takut saya tak akan ganggu awak selagi awak tidak mengganggu belaan saya mencari makan'.

"Kata-kata yang berbaur ugutan itu membuatkan saya menggigil," imbaunya yang keesokan pagi terus membawa kesemua barangnya keluar dari rumah sewa berkenaan.

Malah kata Mayang, sejurus selepas temuduga yang dihadiri, dia terus pulang ke Pahang.

Bersyukur kerana tidak berjaya mendapatkan pekerjaan tersebut, dia turut berpesan supaya sinki tidak ditinggalkan kotor dengan sisa makanan sebelum penghuni rumah masuk tidur.

"Pastikan sampah dibuang keluar rumah dan pinggan mangkuk dicuci dengan sempurna kerana jin suka menjilat sisa makanan," luahnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain