suria

Suami isteri lari malam! Tak tahan kongsi rumah sewa dengan penunggu... ‘Dia’ tumpang main kereta mainan, petik kipas...

Arina berkongsi kisah seram mengenai kipas bergerak sendiri dan misteri bilik belakang di rumah sewa lama.

SIANG tapi seram!

Walaupun soket sudah dicabut, tetapi sebuah kipas bergerak sendiri.

Kipasnya masih lagi berputar seperti dihidupkan suisnya dan berpusing sebelum berhenti tepat menghadap seorang wanita yang merakamkan kejadian aneh itu.

Menerusi satu rakaman video yang tular, orang ramai boleh melihat soket yang tidak dipasang dililit pada kipas tersebut.

Bercerita kepada mStar, wanita bernama Arina Yasmin Hassan berkata, kejadian tersebut berlaku pada waktu pagi di rumah sewa lamanya di Kajang, Selangor.

Menurutnya, rakaman tersebut dibuat ketika dia sedang sarat hamil lapan bulan anak kedua pada tahun lalu ketika mahu berpindah keluar dari rumah sewa tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah hujung jalan ada 'penunggu', 4 bulan penyewa hidup dengan jin... Akhirnya pemuda ini mengalah, entiti tunjukkan diri!

"Saya dan suami serta seorang anak lelaki masa tu baru berusia satu setengah tahun baru je berpindah ke rumah sewa tu di sebuah apartment lama di Kajang.

"Tapi kami hanya bertahan tinggal selama dua bulan je sebelum bertindak keluar dari rumah tu dan tinggal sementara di rumah kakak di Semenyih," katanya ketika dihubungi mStar.

rumah sewa seram 3 W

Keadaan rumah sewa yang didiami Arina sekeluarga pada 2021.

Patung anjing

Pertama kali menjejakkan kaki meninjau di rumah sewa itu sebelum menghuninya sudah membuatkan Arina yang berusia 28 tahun berasa tidak sedap hati.

Siapa yang tidak terkejut apabila sewaktu tinjauan ke rumah kosong di tingkat satu itu, tiba-tiba terlihat sebuah patung anjing besar diletakkan di atas kabinet di salah sebuah bilik.

"Saya tertanya-tanya, kenapa patung anjing tu tidak dikeluarkan sedangkan rumah tu dah kosong dua bulan sebelum kami berpindah masuk.

"Kami tidak bertanya lanjut tentang patung anjing tu demi menghormati tuan rumah, tapi meminta tuan rumah membawanya keluar.

"Sebenarnya sebelum berpindah masuk lagi saya dah tak sedap hati untuk tinggal di rumah itu. Tapi suami kata rumah dekat dengan tempat kerja suami di Putrajaya.

"Kami pun baru nak bina hidup berkeluarga dengan kos rumah sewa yang rendah iaitu sebanyak RM600 sebulan," kata Arina yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang.

rumah sewa seram 2

Arina dan Safwan.

Anak nampak 'kakak'

Mengenai rumah sewa dengan tiga bilik tidur itu, pada awalnya tiada kejadian pelik yang berlaku sehinggalah anaknya sering didatangi 'seseorang' menyerupai wanita.

"Tiada siapa di rumah kecuali kami bertiga. Tapi anak selalu cakap ada nampak 'kakak' dan tunjuk tempat di mana 'kakak' tu berada.

"Saya juga terdengar pintu grill rumah diketuk pukul 3 pagi, tapi tiada siapa pun di luar masa suami pergi periksa. Siapa ketuk pintu pukul 3 pagi?" katanya yang merupakan suri rumah.

Selain itu, Arina berkata, sebelum ini dia juga pernah mendengar bunyi daripada kereta permainan anaknya yang terletak di bilik hujung.

Terkejut apabila nampak bakul kosong yang digunakan untuk menyimpan mainan tiba-tiba bergerak sendiri.

MUHAMMAD SAFWAN

SUAMI

"Sehinggalah pada suatu tengah hari, masa tu suami tiada di rumah cuma hanya saya dan anak... saya terdengar pintu bilik belakang tertutup sendiri.

"Saya masuk bilik tu nampak mainan tu bergerak dan berbunyi sendiri. Saya menangis dan menggigil, saya call suami dan minta tolong kakak ambil saya dan anak bawa ke rumah dia.

"Sebelum ini pun kakak pernah cerita datang ke rumah saya suatu malam, dia rasa ada hembusan angin yang kuat ketika buka almari di bilik tetamu di bilik tengah, tapi tiada siapa ketika itu.

"Kami ambil keputusan berpindah keluar kerana saya sarat hamil dan mahu keadaan lebih selesa untuk berpantang," katanya yang kini ibu kepada dua cahaya mata sambil menambah kereta mainan itu ditinggalkan di rumah sewa tersebut ketika berpindah keluar.

rumah sewa seram 4

Bilik belakang di rumah sewa lama.

Mulanya tak percaya

Sementara itu, suami Arina, Muhammad Safwan Ramli berkata, isterinya sebelum ini sering meluahkan tentang kejadian aneh di rumah sewa itu tetapi dia tidak mempercayainya.

"Pada hari isteri saya dah tak tahan tu sebab takut sangat, saya ambil isteri di rumah kakaknya dan pulang ke rumah di sebelah petang. Saya kemudian pergi tanggalkan bateri daripada mainan tu, saya anggap mungkin ada masalah wiring sebab saya mulanya tak percaya apa yang berlaku," katanya yang merupakan penjawat awam berusia 28 tahun.

Safwan yang berasal dari Alor Setar, Kedah berkata, malam yang sama selepas pukul 10 malam, ketika mereka berada di ruang tamu, tiba-tiba terdengar bunyi kereta mainan dari bilik belakang.

rumah sewa seram 5

Arina (dua, kanan) dan Safwan (kiri) bersama anak-anak.

"Pintu bilik belakang tertutup. Saya cuba positif mungkin bunyi jiran sebelah rumah atau bunyi bising motor. Tapi saya terkejut apabila nampak bakul kosong yang digunakan untuk menyimpan mainan tiba-tiba bergerak sendiri. Daripada ruang tamu saya boleh lihat.

"Saya baca ayat Kursi dan surah-surah al-Quran. Makin kuat saya baca, bakul tu bergerak ke kiri dan ke kanan. Bunyi kereta mainan pun makin kuat. Malam itu juga kami berpindah keluar dan tinggal di rumah kakak ipar.

"Masa tu barulah saya percaya apa yang diluahkan isteri. Kami berpindah ke Semenyih dan Alhamdulillah, sejak itu sampai sekarang tiada lagi gangguan atau kejadian aneh. Bila diimbas kembali, saya meremang menyaksikan kejadian tu sendiri dan sekarang bercerita pun meremang," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

LTAPP turut dilanda banjir