suria

Terjaga dari tidur, doktor terkedu tengok 6 bantalnya atas katil terpacak di lantai! Bergerak-gerak dan mengekek

Keseronokan bermain bantal pada satu malam mengubah segalanya.

MUNGKIN kita masa kecil-kecil dulu seronok bermain bantal bersendirian di waktu malam sebelum tidur.

Tapi dalam keseronokan itu, kadang-kadang kita tidak pasti dengan siapa kita bermain ketika itu.

Kumpul bantal, susun keliling badan, lepas tu feeling macam tidur dalam sarang burung atau kolam.

"Aku suka buat macam tu masa aku umur-umur sekolah rendah. Tidur begitu, rasa macam lebih selesa dan selamat. Macam tidur dalam kubu.

"Aku suka tidur macam tu, sampailah satu hari tu..." tulis Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan, berkongsi cerita zaman kanak-kanaknya.

Pada masa itu, dia bermain permainan video di bilik sehingga lewat malam.

Dia dan dua adiknya berkongsi satu bilik tidur, mula-mula menemaninya bermain sehingga mereka terlelap.

"Nama game tu 'Battle Toad'. Game tu agak kelakar, tapi entah kenapa tengah main tu, rasa tak sedap hati. Timbul rasa seram, bulu roma aku tiba-tiba berdiri.

"Ketika tu, lampu bilik memang dah tutup, tapi lampu bilik air menyala dan pintu bilik air terbuka. Bilik tidur hanya diterangi lampu bilik air, kelihatan samar-samar," ujar Dr Kamarul.

seram main bantal 1

Kesemua bantal di dalam bilik dikumpulnya sebelum menyusun di sekelilingnya. -Gambar hiasan

Perasaan meremang membuatkan dia terus menutup TV, mengumpul semua bantal dalam bilik termasuk yang digunakan oleh adiknya sebelum ia disusun di sekeliling badan.

"Ada enam biji semuanya. Lepas tu, capai selimut dan berselubung penuh, kepala sekali dalam selimut.

"Bilik aku ada dua katil, di bawah dua-dua katil tu ada katil sorong. Jika tarik keluar katil sorong tu, akan jadi empat katil. Waktu tu, aku berada atas salah-satu katil sorong yang telah ditarik keluar. Satu lagi katil sorong, masih bawah katil," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perabot kayu terpakai ada ruang rahsia, selepas dibawa masuk rumah tidur sekeluarga mula diganggu... Kemuncaknya munculah entiti seperti dalam mimpi

Entah berapa lama sebelum tertidur, dia kemudian tersedar kerana berasa panas dek berselubung di dalam selimut terlalu lama sehingga berpeluh.

Namun, ketika itu dia merasai sesuatu yang aneh.

"Aku raba-raba sekeliling aku. Mana pergi bantal yang aku susun keliling aku tadi? Aku capai-capai, tak ada bantal-bantal tu.

"Jadi, aku pun selak selimut dan keluarkan kepala. Tersentak aku bila lihat, bantal yang aku susun keliling aku tu semuanya berada di lantai tetapi dalam keadaan berdiri.

"Beberapa biji bantal tu, dia bergerak-gerak sedikit macam ada benda hidup di dalamnya. Siap ada bunyi macam benda mengekek," tambahnya.

Aku raba-raba sekeliling aku. Mana pergi bantal yang aku susun keliling aku tadi?

DR KAMARUL

Perasan takut dirasai kerana diri rasa seolah-olah dikepung oleh segerombolan makhluk berkelubung oleh benda yang tidak bernyawa, tetapi ia bergerak dan bersuara.

Paling mencemaskan apabila sewaktu hendak bangkit dari katil, baru sedar salah satu bantal seperti sedang mencengkam kaki kirinya.

"Aku terus meronta dan sepak-sepak kaki. Terkena beberapa bantal dan terpelanting ke katil adik aku. Salah seorang adik aku terjaga dan bangun.

"Dia duduk, dia lihat ke tilam di tempat kepala dia terletak tadi. Selepas dia lihat tiada bantal di situ, dia terus tinjau sekeliling. Tanpa berbicara, dia capai salah satu bantal di lantai yang paling dekat dengan katil dia.

"Dia letak bantal itu di atas tilam, rebahkan kepala ke atasnya dan sambung tidur seolah tiada apa-apa yang berlaku. Aku pula yang meremang lihat adik aku selamba letak muka dia atas bantal yang tadinya bergerak-gerak," ujarnya.

seram main bantal 3

Kakinya seperti dicengkam oleh sesuatu.

Setelah beberapa saat berlalu dan bantal yang digunakan adiknya tidak bergerak, dia melihat bantal-bantal lain pula yang bergelimpangan di atas lantai.

"Pegun sahaja semuanya, tak bergerak. Masa tu, aku tak tahu nak buat apa, jadi aku bangkit dari katil aku dan lompat atas katil adik aku yang satu lagi, yang tidur tak pakai bantal.

"Sampai pagi aku tak boleh tidur. Aku asyik jeling bantal-bantal tu semua," katanya.

Menurut Dr Kamarul, sehingga ke hari ini, dia tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku pada malam itu.

Peristiwa yang menyeramkan itu membuatkannya juga tidur tanpa menggunakan bantal dalam tempoh yang lama.

"Sekarang pun, aku boleh tidur tak guna bantal, sebab pernah terbiasa tidur tak gunakannya.

"Kalau tidur di hotel, kadang-kadang terasa seram, sebab sarung bantal dia warna putih dan lebih gebu.

"Seram pula kalau bantal tu semua kepung aku. Silap hari bulan, lemas. Apa pun, setakat ni tak pernah kena lagi selain malam yang dulu tu," tulisnya di Facebook.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain