suria

Demi nafsu, wanita ini jadi mangsa ilmu guna-guna... Sebulan hilang, rupanya sihir asap rokok jadi punca!

Sihir asap rokok mampu memukau, memikat serta membuatkan seseorang menurut perintah selain bertindak sebagai alat pengasih.

TERHUYUNG-hayang Rozita berjalan sambil cuba mengumpul semangat untuk mengingati apa yang sedang berlaku kepada dirinya.

Perkara terakhir yang Rozita ingat adalah dia melompat keluar daripada sebuah kereta selepas tiba-tiba teringat kepada ibu dan adik-beradiknya di kampung.

ARTIKEL BERKAITAN: Jelmaan menyerupai teman sebilik muncul di sebalik ampaian baju... Blok asrama siswa tiba-tiba sunyi sepi, tubuh rasa meremang!

Pandangannya kabur malah kepalanya berasa sakit apabila telinganya terdengar bunyi kenderaan dan motosikal di jalan raya. Malah dia langsung tidak ingat kereta siapa yang dinaikinya sebelum itu.

"Saya minta tolong daripada orang yang sedang makan di kedai dengan meminjam telefon untuk menghubungi ibu saya. Nasib baik saya masih ingat nombornya.

"Saya langsung tidak ingat apa telah berlaku kepada saya, rasa macam orang gila yang hilang ingatan," katanya.

Rupa-rupanya, sudah sebulan Rozita menghilangkan diri sehingga majikannya turut membuat laporan polis dan menghubungi keluarganya di kampung.

2221678

Rozita langsung tidak mengingati apa yang telah berlaku kepadanya.

Sejak itu juga, ibu dan dua adiknya menumpang di bilik sewanya yang disediakan majikan sementara berusaha mencarinya.

"Terkejut saya apabila diberitahu semua orang mencari saya dan sudah sebulan saya hilang... Tidak lama selepas saya menelefon ibu, dia bersama majikan sampai membawa saya pulang.

"Terpinga-pinga saya lihat wajah ibu dan hanya mampu menangis apabila menatap wajahnya. Saya masih bingung dengan apa yang berlaku," ceritanya.

Sejurus pulang ke kampung, keadaan Rozita masih sama. Lebih banyak termenung dan bersendirian di dalam bilik. Makan juga tidak mahu.

Bimbang keadaannya itu, Rozita dibawa berjumpa dengan seorang ustaz dan terbongkarlah apa yang berlaku kepadanya.

Lelaki separuh abad punca kehilangan Rozita

Tiga bulan lalu, Rozita membuat keputusan sukar untuk berhijrah ke Kuala Lumpur selepas salah seorang rakannya memberitahu ada pekerjaan kosong sebagai pembantu kedai.

Mungkin disebabkan sihir, saya jadi macam orang bodoh dan hanya ikut sahaja apa dia katakan.

ROZITA

Lama Rozita berfikir sebelum membuat keputusan kerana berat hati ingin meninggalkan ibu dan dua adik-adiknya yang masih bersekolah.

"Tetapi ini keputusan yang tepat. Sejak ayah meninggal, ibu yang mencari nafkah untuk kami tiga beradik dan kini giliran saya pula untuk membantu ibu.

"Alhamdulillah bukan sahaja rezeki mendapat pekerjaan tetapi bos ditempat kerja juga sangat baik dan menjaga semua keperluan saya kerana tahu saya tiada sesiapa di Kuala Lumpur," katanya.

Imbau Rozita, sebulan sebelum kehilangannya, dia kerap didatangi seorang lelaki dalam lingkungan 50 tahun ke kedai untuk membeli barang.

Tidak mengesyaki sesuatu yang pelik, Rozita tetap melayan lelaki itu seperti biasa setiap kali dia datang ke kedai untuk membeli barang.

"Jujurnya ada juga terdetik dihati tentang sikapnya yang pelik... Kadang-kadang dalam sehari tiga kali dia datang meskipun tidak beli apa-apa.

Darah

Sihir asap rokok itu turut menggunakan bahan seperti darah khinzir dan air kencing anjing hitam sebelum dijemur dan dijampi.

"Macam-macam juga dia tanya sehingga kepada hal peribadi tetapi saya jawab bersahaja kerana mengenangkan dia orang tua," katanya.

Sehinggalah suatu hari kata Rozita, lelaki itu meminta tolong membawa barang yang dibeli ke keretanya sebelum lelaki itu tiba-tiba menyalakan rokok dan menghembus asapnya ke wajahnya.

Dan dia langsung tidak ingat apa-apa selepas itu.

Darah khinzir dan air kencing anjing hitam sihir asap rokok!

Menceritakan pengalaman mendapatkan rawatan, Rozita menjelaskan ustaz memberitahu dia terkena sihir rokok yang telah dijampi.

Kebiasaannya kata ustaz itu, rokok itu akan direndam dengan darah khinzir serta air kencing anjing hitam yang kemudiannya akan dijemur sebelum dijampi.

"Asapnya jika terkena pada wajah seseorang akan memukau, memikat serta membuatkan seseorang menurut perintah selain bertindak sebagai alat pengasih.

idi-sebut-asap-rokok-bisa-jadi-sumber-penularan-covid19_32955

Sihir asap rokok akan membuatkan seseorang berasa terpukau, terpikat serta menurut perintah.

"Mungkin ramai tidak percaya tetapi itulah yang berlaku. Macam-macam cara dilakukan oleh seseorang untuk menundukkan mangsa mereka," jelasnya.

Sejak mendapatkan rawatan, sedikit demi sedikit keadaannya pulih dan ingatannya tentang apa yang berlaku menerpa dalam mindanya.

Antara perkara yang diingatinya adalah lelaki itu ingin memperisterikannya dan merancang membawanya bernikah di Thailand.

"Mungkin disebabkan sihir, saya jadi macam orang bodoh dan hanya ikut sahaja apa dia katakan. Malah saya sanggup lari daripada tempat kerja tanpa memberitahu apa-apa pada majikan.

"Sehelai sepinggang... Saya langsung tidak bawa apa-apa termasuk beg tangan atau kad pengenalan diri," ceritanya.

Rozita memberitahu meskipun serik dengan kejadian itu, namun demi keluarga dia kini kembali ke tempat kerja lamanya dan bekerja seperti biasa.

Adakalanya kata Rozita, perasaan takut tiba-tiba menerpa apabila melihat lelaki separuh abad masuk ke dalam kedai dan cepat-cepat dia akan melarikan diri.

"Alhamdulillah bos pun baik dan pasang kamera litar tertutup kerana bimbang kejadian serupa akan berlaku lagi," jelasnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain