Suka kumpul klip roti, ada antara koleksi wanita ini sudah berusia 21 tahun - I-suke | mStar

Suka kumpul klip roti, ada antara koleksi wanita ini sudah berusia 21 tahun

Nur Anis gemar mengumpul klip roti sejak dibangku sekolah.

APABILA bercakap mengenai hobi ia boleh datang dalam pelbagai jenis mengikut minat seseorang.

Mengumpul setem, patung figura adiwara mahupun koleksi jersi pasukan bola sepak terkenal antara hobi yang biasa kita dengar, tetapi mengumpul ratusan klip roti buku antara yang rare dan jarang-jarang dijadikan sebagai hobi.

ARTIKEL BERKAITAN: Transformasi menarik... Rumah teres usang ini bertukar vila mewah lengkap dua kolam renang!

Namun tidak bagi ibu kepada dua cahaya mata ini, koleksinya bukan biasa-biasa kerana ada antara klip roti tersebut yang disimpan sejak tahun 1998.

Bercakap kepada mStar, Nur Anis, 36, berkata, hobi itu sebenarnya dilakukan secara suka-suka sejak bangku sekolah kerana memandangkan roti adalah makanan wajib yang ada di rumah mereka ketika itu.

"Pada awalnya saya kumpul klip itu secara suka-suka tetapi lama-kelamaan saya jadi obses memandangkan ia datang pelbagai warna.

Koleksi klip roti Nur Anis yang bertarikh 1998 iaitu 21 tahun lalu!

"Paling penting setiap klip tertera tarikh luput roti jadi saya boleh tahu berapa lama usia sesuatu klip itu berdasarkan tarikh tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Nur Anis berkata, dia sebenarnya sudah agak lama lupa akan koleksinya itu namun keputusan mengemas bilik tidurnya di rumah ibu bapanya di Banting, Selangor pada Aidiladha lalu telah mempertemukan kembali dengan klip-klip berkenaan.

Cerita Nur Anis, dia benar-benar menyangka koleksinya itu sudah dibuang ibunya dan tidak menyangka ia masih tersimpan rapi dalam bekas plastik di dalam bilik tersebut.

"Memang terkejut juga apabila terjumpa balik koleksi klip roti itu dan setiap tarikh padanya membuatkan saya terkenangkan pelbagai memori.

"Ia seolah-olah membawa saya kembali ke alam persekolahan serta teringat betapa seronokknya zaman itu," katanya.

Klip roti juga mempunyai pelbagai kegunaan seperti pengepit tali fon telinga. 

Masih mengumpul klip roti, Nur Anis berkata, ia sebenarnya mempunyai pelbagai kegunaan seperti pengepit tali fon telinga dan sebagainya.

Kata Nur Anis, mengumpul klip tersebut mempunyai nilai sentimental buat dirinya, sebab itulah dia keberatan untuk membuangnya.

Sementara itu, Nur Anis memberitahu dia bercadang untuk membingkaikan semua koleksi klip roti tersebut mengikut tarikh dan tahun untuk dijadikan perhiasan di rumahnya.

"Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk buat apa dengan semua koleksi itu... tapi tiba-tiba saya dapat idea untuk bingkaikannya mengikut tarikh.

"Ia pasti menjadi perhiasan di dinding yang menarik memandangkan klip itu terdapat pelbagai warna," katanya.

Hobi , Klip Roti

Artikel Lain