suria

Kajian menunjukkan ramai pengguna jual iPhone mereka, beli telefon Android

Laporan menyatakan lebih ramai pengguna menjual iPhone dan membeli telefon keluaran Samsung. -foto CNET

LAMAN web e-dagang BankMyCell melaporkan bahawa tidak ramai pemilik iPhone yang menjual telefon bimbit lama mereka untuk membeli telefeon baharu keluaran Apple.

Bagaimanapun, kajian menunjukkan 18.1 peratus pemilik iPhone menjual telefon bimbit mereka dan menggantikannya dengan jenama Samsung pada Jun 2019.

BankMyCell, yang menawarkan khidmat menjual telefon bimbit lama dan menukarkannya dengan peranti baharu kepada pengguna mengumpul data daripada lebih dari 38,000 individu yang menjual telefon bimbit mereka sejak Oktober 2018 sehingga Jun 2019 untuk melihat kesetiaan mereka terhadap telefon keluaran Apple itu, demikian laporkan laman Cnet, baru-baru ini.

Laporan itu juga menyatakan bahawa kesetiaan pengguna Samsung lebih tinggi jika dibandingkan dengan iPhone.

Hanya terdapat 7.7 peratus pengguna Samsung Galaxy S9 yang beralih kepada iPhone dan 92.3 peratus kekal menggunakan sistem operasi Android.

Sebagai perbandingan, 26 peratus orang menjual iPhone X mereka dan beralih ke peranti jenama lain.

Angka-angka ini lebih cenderung kepada trend yang mencerminkan gambaran keseluruhan kesetiaan terhadap jenama Apple atau Samsung.

BankMyCell pada dasarnya menggunakan datanya daripada mereka yang menggunakan perkhidmatannya sahaja dan mengakui bahawa ia tidak mewakili keseluruhan penjualan, yang mencakupi laman lelongan, stor operator dan Apple sendiri.

Apple belum memberikan respons berhubung dapatan tersebut.

Bagaimanapun sebelum ini laman Kantar melaporkan bahawa sepanjang tempoh yang berakhir pada Jun 2019, peranti berasaskan iOS menyumbang 36 peratus daripada penjualan telefon bimbit di Amerika, turun 2.4 peratus dari tempoh yang sama tahun lalu.

Penjualan telefon bimbit Android naik 2.5 peratus hingga 61 peratus dari semua penjualan. -Cnet

iPhone, Samsung, kesetiaan, jenama, jual, beli

Artikel Lain