suria

Tak perlu nak berebut seterika, penyangkut baju! Ini ‘check-list’ barang ‘pantang tinggal’ sebelum balik raya di kampung

Pastikan bawa bersama barang keperluan ketika pulang beraya di kampung. -Gambar hiasan

PASTI ramai yang teruja untuk bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Tetapi sebelum berangkat, pastikan barang keperluan yang ingin dibawa sudah lengkap disusun di dalam beg masing-masing.

Maklumlah, apabila berkumpul bersama adik-beradik dan sanak saudara dalam satu rumah pasti banyak benda yang tidak cukup untuk digunakan oleh semua.

Bagi mengelakkan kejadian berebut itu berlaku, seorang pengguna Facebook, Hani Mynis pernah berkongsi check-list yang perlu dibawa pulang bersama.

1. Sambungan kuasa (power extention) dan pengecas telefon bimbit

Membawa alatan elektrik ini akan memudahkan urusan sekiranya soket elektrik di rumah kampung terhad dan jauh untuk dicapai.

2. Ubat nyamuk elektrik dan kertas mat

Bawa ubat nyamuk untuk digunakan pada waktu malam bagi mengelakkan gigitan serangga apatah lagi di kawasan hotspot denggi.

Power extension dan penyangkut baju sangat diperlukan ketika pulang ke kampung.

3. Bakul dobi, jaring dobi dan penyangkut (hanger)

Bakul dobi sangat penting untuk asingkan pakaian agar tidak bercampur dengan baju lain.

Malah, kebarangkalian untuk tertinggal baju juga kurang sekiranya dilonggokkan dalam satu bakul.

Penyangkut baju juga penting untuk menyangkut baju raya dan tudung yang sudah siap digosok.

4. Plastik sampah

Barang wajib dibawa terutama sekali bagi mereka yang ingin membuang lampin bayi dan tuala wanita sudah digunakan.

5. Kit perubatan

Ubat-ubatan adalah penting kerana kebarangkalian untuk terjadinya kemalangan kecil atau jatuh sakit adalah tinggi.

Jangan lupa bawa bekalan ubat mencukupi terutama sekali bagi mereka yang mempunyai penyakit seperti diabetes atau darah tinggi.

Pastikan barang sudah diisi semula dalam bekas ini sebelum balik kampung.

Kit perubatan dan plastik sampah merupakan barang yang perlu dibawa sendiri.

6. Selimut, bantal dan toto

Masalah bantal atau selimut tidak mencukupi boleh dielakkan sekiranya anda membawa selimut dan bantal sendiri dari rumah.

7. Seterika

Bawa seterika anda sendiri bagi mengelakkan berlakunya perebutan ketika menggosok baju raya.

Adalah lebih baik sekiranya baju yang dibawa sudah digosok terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung.

8. Tuala dan kain basahan

Benda paling tidak boleh ditinggalkan sekali sudah semestinya tuala dan kain basahan untuk digunakan sepanjang berada di rumah nenek.

9. Barangan mandian

Segala kelengkapan mandian seperti berus gigi, ubat gigi, sabun dan syampu merupakan antara barangan wajib dibawa sendiri dari rumah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain