BARU masuk pertengahan bulan tapi duit gaji sudah semakin 'kering'. Sudah pasti ramai yang berdepan dengan situasi sebegini, bukan? Lebih-lebih bagi yang sudah berkeluarga dan menetap di ibu kota, pastinya perit untuk menunggu sehingga gaji seterusnya masuk. Ada kalanya sampai terpaksa melakukan catuan makanan, malah ada juga bil utiliti yang tertunggak. Pelbagai punca yang boleh dikaitkan dengan situasi ini, antaranya sikap boros ataupun kurangnya ilmu mengenai pengurusan kewangan. ARTIKEL BERKAITAN: Ramai keliru apakah bentuk pelaburan terbaik, pakar beri tip dan nasihat Justeru, bagaimana caranya untuk mengatasi masalah ini, lebih-lebih lagi dalam situasi ketika ini di mana kebanyakan harga barangan atau perkhidmatan mulai meningkat? Ambil sedikit masa untuk belajar ilmu pengurusan kewangan. -Gambar hiasan Seorang pengguna Facebook, Mohd Jamil Md Arif berkongsi tip pengurusan kewangan agar anda tidak lagi dibebani masalah ini saban bulan. 1. Apabila gaji masuk, selesaikan semua perbelanjaan keperluan asas terlebih dahulu seperti: * Sewa rumah * Pinjaman kereta * Insurans * Pinjaman belajar * Wang belanja ibu bapa * Barangan keperluan isi rumah * Bil telefon, bil air, bil elektrik dan lain-lain 2. Baki pendapatan yang ada perlu digunakan secara bijak seperti membuat simpanan atau pelaburan. Dengan ini anda hanya belanja apabila perlu sahaja dan tidak akan terlebih membeli. 3. Wajib belajar ilmu pengurusan kewangan. Ketika ini banyak konten video oleh pakar kewangan yang dikongsikan di media sosial. Selain itu, belajar membezakan antara keperluan dan kehendak, membuat simpanan di awal bulan bukan di akhir bulan. Jika sudah mencuba pelbagai cara namun masih berdepan masalah 'defisit' setiap bulan, anda disarankan untuk bermuhasabah. -Gambar hiasan 4. Sentiasa kreatif untuk menambah sumber pendapatan keluarga. Jika anda mempunyai kemahiran tertentu, boleh manfaatkannya untuk menambah sumber pendapatan. Sebagai contoh, membuat kek atau biskut, menyediakan khidmat rekaan kad kahwin dan sebagainya. 5. Bersedekah setiap hari walaupun sedikit Usah lokek untuk bersedekah walaupun sedikit, asalkan istiqamah. Percaya mengenai konsep sedekah, sekiranya kita memberi, pasti akan ada ganjarannya. Sedekahlah kepada orang terdekat seperti ibu bapa, adik beradik, ipar duai, jiran dan lain-lain. 6. Muhasabah diri. Sekiranya sudah mencuba pelbagai cara yang disarankan namun masih berdepan dengan 'defisit' setiap bulan, mungkin tiba masanya untuk meneliti aspek kerohanian. Perbaiki hubungan dengan Pencipta, ibu bapa, pasangan dan orang sekeliling. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube