suria

Hari Pekerja: Adakah masih relevan bekerja dari rumah?

Adakah patut bekerja dari rumah diteruskan meskipun negara sudah memasuki fasa endemik?

TANGGAL 1 Mei setiap tahun, hampir seluruh negara dunia termasuk Malaysia menyambut Hari Pekerja.

Sambutan pada tahun ini agak unik kerana kebanyakan negara sudah mula membuka semula sektor ekonomi dan sempadan negara masing-masing serta melonggarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) setelah lebih dua tahun bergelut dengan penularan wabak Covid-19.

Profesor Madya di Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow, berkata, walaupun keadaan dijangka kembali kepada situasi normal, ia tidak bermakna masyarakat perlu kembali kepada proses kehidupan sebelum munculnya Covid-19 ini dengan sepenuhnya seperti tidak pernah berlaku.

ARTIKEL BERKAITAN: Rebut peluang dekati khazanah P.Ramlee, Saloma dalam pameran ‘Aku, Dia dan Lagu’ di Fahrenheit88

Jelas Muzaffar, perubahan yang dilakukan semasa mengharungi Covid-19 sepanjang lebih dua tahun lalu terutama dalam melaksanakan aktiviti pekerjaan perlu dikekalkan untuk selama-lamanya demi manfaat pekerja sendiri serta organinasi tempat mereka bekerja.

Antara perubahan yang perlu dilakukan buat selama-lamanya menurut Muzaffar adalah;

file7kpu4s98mnm1h7p5kcuk

Masih ramai yang bimbang untuk kembali ke pejabat dan lebih selesa bekerja dari rumah.

1. Terus melaksanakan sistem fleksibel dalam bekerja serta bekerja dari rumah

Bergantung kepada jenis pekerjaan, pelaksanaan sistem kerja secara fleksibel serta membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah membawa banyak manfaat, bukan sahaja terhadap pekerja malah kepada produktiviti organisasi di tempat kerja.

Perlaksanaan sistem pekerjaan secara fleksibel serta kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah memudahkan urusan pihak pekerja menjalankan kerja mereka tanpa perlu mengharungi kesesakan jalan raya dan risiko kemalangan jalan raya serta berada di dalam bangunan pejabat dari pagi hingga petang.

"Perlaksanaan pekerjaan secara fleksibel dan kebenaran kepada pekerja untuk bekerja dari rumah ini juga dapat menjimatkan wang, masa serta tenaga para pekerja.

"Segala manfaat yang diperolehi ini dapat mengurangkan beban dan tekanan kepada pihak pekerja sekali gus menjadikan pekerja lebih produktif serta dapat memberi khidmat yang terbaik kepada pihak organisasi di tempat kerja," katanya.

file7kptzcb3frs78l98cuk

Kemudahan teknologi moden pada masa kini memudahkan urusan berkaitan kerja.

2. Memaksimumkan penggunaan teknologi

Kemunculan pelbagai jenis teknologi moden pada kini juga banyak memberi ruang dan peluang untuk sesetengah jenis pekerjaan dilakukan melalui secara dalam talian tanpa perlu berada di pejabat secara fizikal.

Memandangkan penularan Covid-19 dan varian yang dibawanya masih wujud di serata dunia pada masa ini, adalah tidak wajar sekiranya segala jenis aktiviti berkaitan tempat kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel dan seminar dilakukan secara bersemuka di tempat kerja atau pejabat.

"Pihak majikan perlu mengunakan kemudahan teknologi moden pada masa kini untuk menjalankan beberapa aktiviti tempat kerja. Zaman sudah pun berubah.

"Pada zaman moden kini, pelbagai jenis kemudahan serta aplikasi dalam talian sudah wujud bagi memudahkan urusan semua pihak. Dengan wujudnya komputer, telefon pintar serta internet, semua pihak boleh melakukan aktiviti harian dengan lebih mudah, cepat serta berkesan," ujarnya.

Sementara itu, Muzaffar berkata, dengan penularan wabak ketika ini, cara lama yang digunakan boleh mendedahkan diri majikan serta pekerja itu dengan bahaya jangkitan Covid-19 serta varian dibawa olehnya.

Photo_Dr. Muzaffar Syah Mallow (1)

Dr Muzaffar Syah Mallow.

Muzaffar mengingatkan bahawa tanggungjawab menjaga dan melindungi keselamatan serta kesihatan semua pihak di tempat kerja bukan sahaja ditentukan dari sudut tanggungjawab moral, malah ia juga termaktub di bawah peruntukan undang-undang buruh di negara ini seperti yang termaktub di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).

Tindakan undang-undang tegas boleh diambil terhadap mana-mana majikan ataupun pihak pengurusan yang didapati gagal melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja mereka.

"Pihak kerajaan boleh mengeluarkan satu bentuk perintah atau arahan jelas bagi mengarahkan segala jenis aktiviti berkaitan kerja seperti mesyuarat, proses temuduga, bengkel, seminar dan lain-lain dilakukan secara dalam talian.

"Tanpa adanya perintah atau arahan yang jelas ini, sukar bagi kita merealisasikan usaha dalam mengalakkan pihak majikan untuk membenarkan pekerja mereka bekerja secara fleksibel dan berkerja dari rumah," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain