suria

Berita baik buat penggemar aiskrim... Pakar ini dedah kebaikan jamah pencuci mulut ini ketika sarapan pagi

Kajian yang dijalankan oleh saintis dari negara Jepun mencadangkan bahawa memakan aiskrim untuk sarapan pagi dapat membantu meningkatkan kecerdasan dan prestasi mental seseorang.

SEIRING dengan perubahan trend makanan, terdapat sejenis pencuci mulut yang menjadi kegemaran setiap orang iaitu aiskrim.

Namun, aiskrim sering dilabelkan sebagai pencuci mulut yang harus dielakkan kerana sifatnya yang sejuk dan rasanya yang manis.

ARTIKEL BERKAITAN: Sebelum melangkah 2022, ketahui 5 perkara boleh anda lakukan untuk hidup lebih bahagia

Tetapi masih ramai tidak tahu aiskrim itu sendiri mempunyai khasiat yang jarang diketahui.

Menerusi kajian dilakukan oleh seorang profesor di Tokyo's Kyorin University, Jepun, Yoshihiko, kajiannya dilakukan ke atas sebilangan sukarelawan di mana mereka harus makan ais krim setelah bangun tidur.

Katanya, mereka juga diminta melakukan beberapa ujian mental menerusi komputer dan keputusannya menakjubkan setelah menunjukkan kumpulan makan aiskrim bertindak balas dan memiliki keupayaan memproses maklumat dengan lebih baik.

Selain mengandungi vitamin dan mineral, makan aiskrim pada waktu pagi boleh membawa manfaat kesihatan yang positif seperti:

1. Meningkatkan mood sepanjang hari

Ramai yang percaya makan ais krim membuatkan mood lebih ceria, oleh itu memulakan hari anda dengan makan manisan ini.

Tidak hairanlah kerana terdapat penjelasan saintifik di sebalik kebaikan aiskrim bagi orang yang memakannya.

Apabila makan aiskrim, badan menghasilkan serotonin, yang membuatkan anda lebih gembira.

Untuk itu, makan aiskrim pada waktu pagi boleh menaikkan perasaan gembira dan mood yang baik.

Hasilnya, sepanjang hari anda akan berasa lebih seronok dan bertenaga.

2. Pengambilan nutrien untuk badan

Selain meningkatkan mood, aiskrim juga kaya dengan vitamin.

Dalam kandungan aiskrim, terdapat bahan asas susu sebagai penyumbang utama vitamin dan mineral yang baik untuk kesihatan.

Malah, aiskrim mengandungi vitamin A, D, K, B12, kalsium dan fosforus yang memberi kesan baik kepada kesihatan badan menyokong produktiviti sepanjang hari.

3. Melegakan simptom selsema

Sekali pandang, makanan atau minuman sejuk seperti aiskrim dilihat sebagai punca penyakit tekak.

Sebenarnya adalah dinasihatkan untuk makan makanan berasaskan tenusu ketika anda selsema, termasuk aiskrim.

Tekstur aiskrim yang lembut akan membantu melegakan sakit tekak, mengurangkan dehidrasi dan meningkatkan pengambilan kalori yang hilang akibat kurang selera makan.

4. Sumber tenaga tambahan

Rasa lesu dan tidak bersemangat? Terima kasih kepada kandungan gula di dalamnya, anda boleh makan aiskrim untuk mendapatkan tenaga baru dengan segera.

Bukan sahaja gula, aiskrim yang mengandungi lemak dan protein boleh menjadi pengambilan untuk badan menjalankan aktiviti harian.

5. Mengekalkan tulang dan gigi yang kuat

Sejak kecil, anda pasti sudah diajar untuk rajin minum susu bagi mengekalkan kesihatan gigi dan tulang.

Susu sangat sinonim dengan kandungan kalsium yang tidak dapat dihasilkan oleh badan secara semula jadi.

Oleh itu, anda perlu mencari pengambilan kalsium daripada pelbagai bahan makanan atau suplemen agar keadaan tulang kekal kuat.

Dengan bahan berasaskan susu yang kaya dengan kalsium, ais krim boleh menjadi salah satu cara untuk menguatkan tulang dan gigi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

ais krim,

Artikel Lain