suria

Dulu tular kerana ‘Mustang terbang’ masuk parit, kini berjaya jual sejuta burger - “Macam mimpi angka itu berjaya dicapai”

Baru beroperasi sembilan bulan lalu, Syukor Burger kini sudah pun terjual sebanyak sejuta unit.

DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Pepatah itu cukup bagi menggambarkan kisah seorang usahawan yang tidak pernah kenal erti putus asa dalam usahanya menikmati sebuah kemanisan kejayaan.

Tahun lalu, Syukor Majid pernah menjadi bualan dalam kalangan netizen apabila tular dengan kisah kereta Mustang miliknya menyeberangi parit di Bertam, Pulau Pinang ketika dipandu isterinya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bermula sebagai penternak kambing di laman rumah mentua, kini Mr. Pepper ada kilang sendiri - “Pandemik sedarkan saya...“

Pelbagai tohmahan dan ejekan yang diterima akibat insiden itu namun Syukor tidak pernah menjadikan ia penghalang untuk dirinya terus berusaha.

Menjalankan perniagaan di era pandemik Covid-19 kata Syukor, bukan sesuatu yang mudah apatah lagi untuk mempertahankan perniagaan yang dibina hasil titik peluh sendiri.

Kata pemuda berusia 33 tahun ini, jika tersalah langkah dan percaturan ia bukan sahaja menjerat diri tetapi boleh memberi kesan kepada banyak pihak lain yang mencari rezeki.

WhatsApp Image 2021-09-02 at 9.01.28 PM

Pandemik tidak dijadikan alasan untuk terus mencipta perniagaan baharu dalam usaha membantu golongan terkesan.

Namun pemuda ini tidak mahu melihat pandemik sebagai perkara negatif sebaliknya mencari pelbagai peluang dalam memperluaskan perniagaan.

Siapa sangka percubaan itu membuahkan hasil apabila jenama burger yang dikeluarkannya iaitu Syukor Burger mencipta fenomena apabila terjual sebanyak sejuta biji pada Ogos lalu.

"Saya rasa macam mimpi angka sejuta itu berjaya dicapai, maklumlah kami baru sahaja memulakan perniagaan ini sembilan bulan lalu.

"Tapi tiada yang mustahil dalam dunia ini, jika kita berusaha pasti Allah bukakan jalan," katanya kepada mStar.

Syukor mengakui air mata lelakinya turut tumpah apabila usaha hampir setahun dalam suasana pandemik itu membuahkan hasil luar biasa.

viral kereta masuk parit

Syukor sebelum ini pernah tular kerana kereta Mustang kesayangannya 'terbang' menyeberangi parit.

Katanya, pada awalnya di memulakan perniagaan itu dengan niat untuk membantu membuka peluang pekerjaan memandangkan ketika ini ramai terkesan dan terputus rezeki akibat kehilangan kerja.

"Sebagai usahawan sejak tahun 2010, saya cuba tawarkan sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada mereka yang terkesan. Saya bukan wakil rakyat atau jauh sekali ahli politik, tapi saya nak bantu mereka yang bergelut," ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini.

Bercerita mengenai perniagaannya, Syukor memberitahu bisnes 'offline' diusahakan turut terkesan dan merundum memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini menghadkan aktiviti di luar rumah sehingga menyukarkan pembeli membuat pembelian.

Namun katanya, dia tidak berpeluk tubuh sebaliknya menggunakan medium jualan dalam talian sebagai jalan keluar bagi menyelamatkan perniagaan sedia ada di samping mencuba beberapa perkara baharu termasuk menghasilkan Syukor Burger.

"Kilang makanan dan minuman masih mampu beroperasi seperti biasa, paling penting tiada pekerja yang kehilangan pekerjaan," ujarnya yang memegang ijazah sarjana muda dalam Perniagaan Antarabangsa dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tapi tiada yang mustahil dalam dunia ini, jika kita berusaha pasti Allah bukakan jalan.

SYUKOR MAJID

PENGASAS SYUKOR BURGER

Mengimbau kembali percubaan memasuki dunia perniagaan burger, bapa kepada dua cahaya mata ini memberitahu dia gemar mencabar diri.

Syukor memberitahu dia tergerak hati untuk memulakan perniagaan itu sebelum membaca berita berkenaan kadar pengangguran yang naik mendadak akibat pandemik.

"Terdetik di hati untuk membantu mereka yang sedang dalam kesusahahan. Tiba-tiba datang ilham untuk berniaga rangkaian burger dan saya segera mengumpulkan pasukan saya untuk berbincang mengenainya.

"Jujurnya pengetahuan tentang burger memang tiada. Tapi dalam tempoh singkat itu, kami sama-sama belajar buat semua perkara termasuklah roti, patty, sos dan mayonis. Alhamdulillah sekarang sebut apa sahaja jenis burger kami sudah pandai buat," katanya.

Bagi mengotakan janjinya untuk membantu masyarakat dalam kesusahan, peniaga yang berminat untuk menjual burger tidak perlu mengeluarkan sebarang modal malah dia turut menyediakan burger dan bahan mentah.

240651177_358854952619235_2574130897777215382_n

Isteri adalah antara kekuatan Syukor.

Malah katanya, dia terkejut apabila sambutan diterima sangat luar biasa sehingga ada yang sanggup membayar demi membuka francais Syukor Burger.

"Saya terpaksa tangguhkan idea membuka francais buat masa ini kerana ingin fokus bantu mereka yang tersepit terlebih dahulu. Bukan sahaja nak bantu tetapi mendidik mereka menjadi seorang usahawan sebenar," katanya.

Selain berjaya membuka 200 peluang pekerjaan baharu, Syukor memberitahu dia juga kini mempunyai 600 cawangan gerai di seluruh Malaysia.

"Ini bermakna ada 600 operator berjaya kami bantu dalam tempoh pandemik. Insya Allah menjelang akhir tahun, kami berharap angka itu meningkat kepada 1,000," ujarnya.

Syukor memberitahu bukan mudah untuk bersaing dan kekal relevan dalam pasaran namun ilmu, produk yang unik, pengagihan cekap, pemasaran dan atas keizinan Allah dapat memudahkan perjalanan sesuatu perniagaan.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain