suria

Rasa diri istimewa, jiwa lebih patriotik lahir pada 31 Ogos... tiga wanita ini bangga jadi anak Malaysia

Zhi Yun, Rachel dan Ruby menyambut hari jadi mereka pada Hari Kemerdekaan Malaysia iaitu tanggal 31 Ogos.

LAHIR di Malaysia dan menyambut hari jadinya bersama negara yang dicintai pada setiap tahun sentiasa membuatkan Tiong Zhi Yun teruja.

Lahir pada 31 Ogos 2001 di Kuala Lumpur, Zhi Yun menganggap ia tarikh keramat buat negara dan dirinya kerana Malaysia telah mencapai kemerdekaan sejak 64 tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda ini jadi individu etnik Kenyah pertama diterima masuk ke Universiti Oxford - “Saya bukan genius...”

"Sebagai rakyat Malaysia, Hari Kemerdekaan sangat bermakna buat diri saya kerana ini menandakan kebebasan, kedaulatan dan kemerdekaan.

"Ia sekali gus menghidupkan kembali semangat patriotik saya dan mengingatkan saya tentang sumbangan dan pengorbanan pemimpin masa lalu yang mendapatkan kemerdekaan kita," kata pelajar Program Pemindahan Ijazah Amerika di INTI International College Subang ini.

INTI 1

Zhi Yun teruja hari jadinya sama dengan hari Kemerdekaan Malaysia.

Katanya, dilahirkan pada tarikh keramat itu mempunyai banyak kelebihan dan Zhi Yun menganggap dirinya bertuah.

"Kebiasaannya saya dapat pelbagai hadiah selain dapat menebus barang percuma atau menikmati promosi pada hari lahir saya," ujar gadis berusia 20 tahun ini.

Meskipun tidak pernah meraikan ulang tahunnya bersama rakan-rakan di sekolah kerana ia adalah cuti umum, namun Zhi Yun berkata dia tetap gembira kerana setiap kali hari jadinya, dia dapat menyaksikan bunga api, perbarisan dan Jalur Gemilang yang dipasang di setiap rumah.

Malaysia, katanya, tetap dekat di hati, bukan hanya kerana hari lahirnya semata-mata sebaliknya bersyukur dengan semua yang ada di negara ini.

Inilah indahnya tentang rakyat Malaysia dan tidak ada perkara dapat memisahkan kita.

TIONG ZHI YUN

PELAJAR INTI INTERNATIONAL COLLEGE

"Malaysia adalah sebuah negara yang aman dengan berbilang kaum dan budaya, sumber alam semula jadi serta makanan yang enak!

"Indahnya Malaysia adalah kerana rakyat di negara ini berkongsi ikatan bersama yang kuat untuk menerima kepelbagaian antara satu sama lain dan berusaha untuk membina sebuah komuniti yang padu.

"Inilah indahnya tentang rakyat Malaysia dan tidak ada perkara dapat memisahkan kita," ujarnya.

Seperti orang lain, Zhi Yun turut mempunyai aspirasi untuk negaranya yang tersayang dan melihat membangunkan sistem pendidikan masa depan dapat memaksimumkan potensi masyarakat selain dasar yang menekankan kelestarian dan pemerintahan yang baik.

INTI 2

Rachel menggemari lagu nyanyian Datuk Sudirman iaitu 31 Ogos.

Rachel Tan yang juga seorang pensyarah memberitahu tinggal di Malaysia mempunyai banyak kelebihan - cuaca yang baik, terdapat pelbagai tempat menarik untuk dilawati, sejarah dan budaya yang tidak pernah habis dipelajari.

Paling penting katanya, Malaysia adalah syurga makanan yang membuatkan sesiapa sahaja rambang mata!

Juga seorang anak kelahiran Merdeka, Rachel memberitahu seperti orang lain, ia adalah hari yang cukup istimewa buat dirinya.

"Ini adalah hari istimewa... Lirik dalam lagu Datuk Sudirman, 31 Ogos, 'Hari yang mulia, hari bahagia, sambut dengan jiwa yang Merdeka' menjelaskan apa saya rasa mengenainya," kata anak kelahiran bandar diraja Klang ini.

INTI 3

Ruby berharap pandemik segera pulih.

Rachel memberitahu sebagai rakyat negara ini seseorang itu perlu mempunyai semangat toleransi, hormat menghormati dan perpaduan agar dapat terus menikmati keamanan.

Sementara itu, bagi Ruby Wong yang turut dilahirkan pada 31 Ogos, dia berharap negara dapat kembali pulih dari pandemik dan yakin dapat melakukannya.

"Rakyat negara ini perlu bersama-sama membantu kerajaan memerangi Covid-19 di samping mengambil berat terhadap orang di sekeliling kita.

"Saya yakin kita tidak mudah menyerah dan akan terus berusaha sehingga keadaan kembali normal," ujarnya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berkaitan

Artikel Lain