Wow! Selepas 4 bulan 'hilangkan' diri, rehat Faizdickie nyata berbaloi - “Komen gemuk macam b**i cukup berbekas dihati”

Berat badan Faizdickie pernah mencecah 105 kilogram sebelum dia mengambil keputusan untuk menguruskan badan. Kini, berat badannya hanya 75 kilogram.

SIAPA yang tidak kenal dengan ikon media sosial, Faizdickie yang cukup popular dengan video-video lawak menerusi karakter Sarabanon, Kak Leha dan Nurse Puaka di Instagram.

Bagaimanapun sejak empat bulan lalu, Faizdickie atau Nasrul Faiz Abu Azal tiba-tiba menghilangkan diri daripada media sosial sehingga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengikutnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pernah hilang kerja akibat Covid-19, suami pula sakit tapi Jumaroh tetap positif - "Kita bertahan sebelum ini, kini pasti dapat melaluinya lagi"

Menjelaskan mengenai kehilangannya, Faizdickie berkata, dia 'berehat' kerana ingin melakukan transformasi pada dirinya ekoran berat badannya mencecah sehingga 105 kilogram.



Transformasi Faizdickie mengejutkan peminat.

"Pada satu ketika saya tertekan, menjauhkan diri daripada masyarakat, rasa insecure dan hilang keyakinan diri.

"Saya percaya ini juga adalah petunjuk kesihatan mental saya turut terganggu dan merasakan saya perlu untuk kembali berasa gembira dengan kehidupan," katanya kepada mStar.

Atas dorongan itu, Faizdickie memberitahu dia perlu lakukan sesuatu sebelum dia tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri dan sepanjang tempoh 'berehat' itu dia berjaya mengurangkan 25 kilogram berat badannya.

Bercakap mengenai berat badannya yang naik mendadak, Faizdickie tidak menafikan ia disebabkan kegagalannya menjalani rutin kehidupan sihat.

Kata-kata hinaan memang buat saya tertekan meskipun ada 10,000 komen lain yang menyokong saya tetapi bila terbaca satu komen kejam seperti memanggil saya 'gemuk macam b**i', ia amat berbekas di hati saya.

FAIZDICKIE

PERSONALITI MEDIA SOSIAL

Ini termasuklah tidak bersenam dan menjadikan tekanan sebagai alasan untuk makan lebih banyak sebagai cara menenangkan diri.

"Saya tak jaga kesihatan, tak bersenam, makan melebih-lebih dan natijahnya, saya naik berat badan. Pernah cecah 105 kilogram paling berat ketika itu.

"Masa ni saya makin jadi tak gembira, bila tak gembira saya stres, bila stres saya makan dan berterusan begitu kitarannya," katanya.

Bagaimanapun katanya, kritikan dan kata-kata negatif yang dilemparkan netizen tentang bentuk fizikalnya membuatkan dia tersentak sekaligus nekad mengubah dirinya.



Kritikan pengguna media sosial mengenai berat badannya telah memberi semangat kepada Faizdickie untuk mengubah gaya hidup.

"Kata-kata hinaan memang buat saya tertekan meskipun ada 10,000 komen lain yang menyokong saya tetapi bila terbaca satu komen kejam seperti memanggil saya 'gemuk macam b**i', ia amat berbekas di hati saya.

"Tapi daripada saya berterusan begini dan termakan dengan satu kata negatif, saya nekad untuk melakukan perubahan. Alhamdulillah keluarga dan teman rapat tak henti-henti beri sokongan," jelasnya.

Katanya, selepas berjaya mengurangkan berat badan sebanyak 25 kilogram, dia kini berasa lebih yakin dan gembira dengan kehidupannya dan akan terus mengamalkan gaya hidup sihat.

Menurutnya lagi, dia tidak pernah terfikir untuk menurunkan berat badan, namun keputusan itu dibuat bagi merawat kesihatan mentalnya sendiri.



Faizdickie nekad untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat.

"Bila sebut fasal kesihatan mental, pasti akan yang fikir tentang gila, nak bunuh diri, kemurungan tetapi kesihatan mental juga merangkumi perkara yang kita tak nampak.

"Macam kes saya, Alhamdulillah bukanlah hingga tahap mengalami tekanan yang teruk, tapi tidak dinafikan kadangkala saya memilih menjauhkan diri daripada masyarakat, rasa tidak selamat dan hilang keyakinan diri.

"Apa yang berlaku selama ini juga membuktikan kesihatan mental saya tidak berada dalam keadaan baik menyebabkan saya perlu cari solusi untuk gembira," katanya yang pernah menerima anugerah Personaliti Media Sosial Popular, Anugerah Bintang Popular 2014.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain