suria

Pemain bola sepak terkemuka ucap Eid Mubarak buat semua

Ozil, Pogba dan Zouma bergambar di hadapan Kaabah di Makkah.

KEHADIRAN Aidilfitri tahun ini disambut meriah oleh umat Islam di seluruh dunia.

Malah, pemain bola sepak terkenal antarabangsa yang beragama Islam juga tidak terlepas meraikan hari mulia itu.

Berikut merupakan beberapa figura terkenal global yang turut melatari kemeriahan Syawal pada tahun ini.

1) Mesut Ozil

Pemain sensasi Arsenal ini dilahirkan di Gelsenkirchen, Jerman Barat pada 18 Oktober 1988.

Dia yang memiliki darah keturunan Turki sememangnya dikenali ramai sebagai pemain bola bergama Islam yang cukup disegani lawan di padang.

Foto dari Instagram Ozil.

Perkongsian bintang itu mengenai ketibaan Syawal turut mendapat perhatian pelayar media sosial.

"Eid Mubarak kepada semua saudara Muslim seluruh dunia," ujarnya menerusi Instagram.

Posting yang memaparkan lakaran dia sedang menadah tangan berdoa itu menerima lebih 1.3 juta tanda suka.

2) Paul Pogba

Seorang lagi pemain bola sepak beragama Islam, Paul Pogba turut meraikan sambutan lebaran pada tahun ini.

Pemain Manchester United itu membuat perkongsian video pendek menerusi laman Twitter sambil mengucapkan 'Eid Mubarak' buat pengikutnya.

Foto ucapan raya Pogba.

Pada Mei lalu, dia sempat menunaikan ibadah puasa sambil mengerjakan umrah di Makkah.

"Tidak pernah lupa perkara penting dalam hidup," ujarnya menerusi Instagram sewaktu kunjungan ke kota suci itu.

Dia turut memuat naik foto di hadapan Kaabah bersama pemain pertahanan Chelsea, Kurt Zouma.

3) Yaya Toure

Pemain terkenal kelahiran Ivory Coast, Yaya Toure turut melatari kemeriahan Syawal dengan ucapannya menerusi laman sosial.

"Eid Mubarak buat semua saudara Muslim. Saya mengucapkan Eid al-Fitr," tulisnya di Twitter.

Yaya Toure turut membuat ucapan di Twitter.

Bekas pemain Barcelona ini juga pernah dinobatkan antara pemain bola beragama Islam yang paling berpengaruh di dunia.

Malah, dia pernah menarik perhatian ramai kerana menolak pemberian alkohol sewaktu kemenangan pasukan Manchester City pada 2012.

4) Kurt Zouma

Pemain Chelsea kelahiran Perancis ini turut memberi ucapan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Malah, dia turut berdoa agar segala doa saudara Islam di seluruh dunia diterima Allah.

"Semoga doa kita diterima dan diampunkan oleh Allah," tulisnya di Instagram.

Zouma dan Pogba di Makkah.

Baru-baru ini, dia menarik perhatian ramai apabila tersiarnya gambar dirinya bersama Paul Pogba dihadapan Kaabah.

Malah, ramai yang turut memuji Zouma kerana sempat mencuri masa untuk beribadah sempena bulan Ramadan.

5) Sadio Mane

Penyerang terkenal Liverpool, Sadio Mane turut meraikan Aidilfitri tahun ini.

Malah, dia juga tidak lupa berkongsi ucapan raya kepada pengikutnya di laman sosial.

Ucapan yang dikongsi olehnya di Instagram.

Pemain berusia 27 tahun itu memiliki 3.9 juta pengikut Instagram.

"Eid Mubarak untuk semua saudara saya," ujarya.

Dia turtu memuat naik foto senaskah al-Quran bersama tasbih dan sejadah. - About Islam.

Artikel Lain