suria

Penyeri istana dan negara, kenali 10 permaisuri berkarisma di seluruh dunia

Seorang permaisuri ibarat pelengkap yang menyokong kedaulatan sesebuah negara.

SETIAP negara mempunyai konsep pemerintahan dan pentadbiran tersendiri iaitu Raja Berperlembagaan atau Republik.

Bagi negara yang mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan, ia memiliki perlembagaan yang menyokong sistem pentadbiran kerajaan yang terdiri daripada tempatan, negeri dan persekutuan serta undang-undang yang mentadbir negara tersebut.

Terdapat 26 institusi diraja di seluruh dunia yang menjadi sebuah jaringan unik dan terdiri daripada raja-raja, permaisuri, sultan, maharaja serta emir yang memerintah di 43 negara.

Jika ada raja, maka pastilah ada ratunya. Seorang permaisuri ibarat pelengkap yang menyokong kedaulatan sesebuah negara.

Daripada Raja Permaisuri Agong Malaysia kepada Ratu Rania di Jordan, kenali 10 permaisuri terkenal dunia yang bertakhta di hati rakyat jelata.

1. Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Maimunah Iskandariah, Malaysia


Baginda merupakan permaisuri kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16 iaitu Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dari Pahang.

Tunku Azizah Maimunah ialah puteri ketiga kepada Sultan Johor, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Al-Marhum Sultan Ismail dan Enche’ Besar Hajah Kalsom Abdullah.

Baginda juga merupakan adinda kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Hasil perkongsian hidup dengan baginda Yang di-Pertuan Agong, Tunku Azizah dikurniakan empat putera dan lima puteri sebagai penyeri mahligai keluarga kerabat diraja itu.

2. Ratu Elizabeth II, United Kingdom


Ratu Elizabeth II merupakan anakanda Raja George VI dan Ratu Elizabeth (bonda baginda) yang menaiki takhta pada 6 Februari 1952 selepas ayahandanya mangkat.

Baginda merupakan kerabat Diraja Britain yang paling lama mentadbir negara iaitu 67 tahun dan salah seorang raja yang paling lama memerintah dalam sejarah.

Puteri kepada Raja George ke-6 dan Ratu Elizabeth itu mendirikan rumah tangga dengan bekas Putera Greece dan Denmark, Putera Philip pada 1947.

Pasangan diraja itu dikurniakan tiga putera dan seorang puteri serta lapan cucu termasuk Putera William dan Putera Harry yang merupakan anakanda kepada Putera Charles dan mendiang Puteri Diana.

3. Permaisuri Silvia, Sweden



Baginda berkhidmat sebagai Permaisuri Sweden sejak mengahwini Raja Carl XVI Gustaf pada 19 Jun 1976.

Sebelum itu, baginda berkerja di Konsulat Argentina di Munich, Jerman.

4. Permaisuri Saleha, Brunei



Saleha mengahwini Putera Mahkota Hassanal Bolkiah pada 1965.

Selepas bapa mertua baginda mangkat, suaminya ditabalkan menjadi Sultan Brunei pada 5 Oktober 1967.

5. Permaisuri Suthida, Thailand


Permaisuri Suthida menjadi ratu kepada Raja Maha Vajiralongkorn pada 1 Mei 2019, iaitu tiga hari sebelum upacara kemahkotaan baginda.

Permaisuri tersebut yang merupakan isteri keempat Raja Maha Vajiralongkorn ialah bekas pramugari Thai Airways International dan menjadi pengawal istana pada 2013.

6. Permaisuri Jetsun Pema, Bhutan



Ketika Jetsun Pema mengahwini Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck pada 3 Oktober 2011, baginda menjadi permaisuri pada usia 21 tahun.

Baginda merupakan seorang graduan dalam jurusan hubungan antarabangsa dari Kolej Regent London di England.

7. Permaisuri Máxima, Belanda


Máxima mengahwini Raja Willem-Alexander pada 2002 dan bergelar permaisuri pada 30 April 2013 selepas suaminya menaiki takhta.

Graduan ekonomi itu bekerja dengan beberapa syarikat kewangan antarabangsa seperti HSBC, Dresdner Kleinwort dan Bank Deutsche sebelum mendirikan mahligai dengan Putera Mahkota Belanda.

8. Permaisuri Letizia, Sepanyol


Baginda merupakan bekas wartawan dan pembaca berita yang bekerja untuk syarikat seperti ABC dan CNN+.

Letizia bergelar isteri kepada Raja Felipe VI pada 2004 dan menjadi Permaisuri Sepanyol pada 19 Jun 2014.

9. Permaisuri Rania, Jordan


Rania Al Yassin berkahwin dengan Putera Abdullah II bin Al Hussein pada tahun 1993.

Ketika suaminya ditabal sebagai Raja Jordan pada 7 Februari 1999, Rania kemudiannya bergelar seorang permaisuri.

Sebelum melaksanakan tugas-tugas diraja, Permaisuri Rania bekerja dalam dunia perbankan dan sektor teknologi maklumat.

10. Permaisuri 'Masenate Mohato Seeiso Lesotho



Permaisuri 'Masenate Mohato Seeiso bergelar permaisuri kepada Raja Letsie III apabila mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2000.

Baginda merupakan orang kebanyakan pertama yang mengahwini kerabat diraja Lesotho.

Sewaktu pertama kali baginda bertemu dengan bakal suaminya, baginda sedang melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Sains di Universiti Kebangsaan  Lesotho. - MSN
permaisuri

Artikel Lain