suria

Ramai tak tahu, penyanyi rap terkenal ini sebenarnya beragama Islam!

French Montana dan DJ Khaled antara penyanyi rap yang beragama Islam.

KALAU ditanya mengenai genre muzik yang mendapat tempat dihati pendengar masa kini, rap dan hip hop pasti menjadi antara pilihan pendengar bukan sahaja di Malaysia tetapi seluruh dunia.

Carta Billboard Hot 100 di Amerika Syarikat (AS) juga banyak didominasi oleh lagu-lagu daripada genre itu, malahan tahun lalu, hampir kesemua lagu nyanyian penyanyi rap, Drake berjudul Scorpion berjaya menembusi kedudukan 10 terbaik.

Tapi yang tak sedapnya, stigma terhadap rap dan hip hop masih belum berubah dan sering dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral seperti kekerasan, seks, dadah malah perkauman terutamanya di AS sejak ia diperkenalkan sekitar 40 tahun lalu.

Namun di sebalik stigma itu ramai tidak sedar sebenarnya ramai 'pejuang' genre tersebut membawa mesej yang baik dalam lagu dan lirik mereka.

Malah ramai di antara penyanyi rap dan hip hop popular di AS khususnya beragama Islam dan ramai sebenarnya tidak tahu!

1. Busta Rhymes, 47 tahun


Busta Rhymes memberitahu Islam membuatkan dirinya sentiasa merendah diri.

Sebut sahaja nama Busta Rhymes pasti akan teringat dengan lagu popularnya bersama Mariah Carey berjudul I Know What You Want.

Pemilik nama sebenar Tahiem Smith Jr. ini sebenarnya beragama Islam dan ramai tidak tahu Busta banyak membuat kerja-kerja amal bagi membantu komuniti Islam hasil daripada kekayaannya dalam bidang muzik.

Busta memberitahu ia antara cara dia sentiasa merendah diri dan tidak hanyut dalam kekayaan dan populariti sebagai selebriti terkenal dunia.

"Saya sentiasa cuba memahami pelbagai aspek dalam kehidupan dan Allah sentiasa berada pada kedudukan paling tinggi untuk saya menjalani kehidupan sebagai seorang Muslim.

"Kepercayaan dan keyakinan terhadap Islam membuatkan saya sentiasa merendah diri," katanya kepada Hollywood TV pada 2007.

2. Akon, 46 tahun


Lonely meletakkan nama Akon sebagai antara penyanyi popular dunia.

Pemilik nama sebenar Aliaume Damala Badara Akon Thiam atau Akon mencipta nama sebagai penyanyi selepas lagunya berjudul Lonely popular di seluruh dunia.

Pandangan serong dan skeptikal segelintir masyarakat di AS terhadap umat Islam tidak pernah membuatkan Akon malu atau cuba menyembunyikan identitinya.

Malah dia semakin diterima baik menerusi lagu-lagu seperti Smack That, I Wanna Love You dan pernah berkolaborasi dengan nama-nama besar dalam genre rap seperti Eminem, T-Pain, Young Jeezy, DJ Khaled dan Jay-Z.

3. Lupe Fiasco, 38 tahun


Lupe menjadikan muzik sebagai medan mengembangkan dakwah.

Wasalu Muhammad Jaco atau Lupe Fiasco pernah membenci muzik rap kerana melihat ia mempunyai potensi besar dalam mempromosikan dadah, keganasan dan eksploitasi terhadap wanita.

Bagaimanapun Lupe memberitahu dia berjaya menepis godaan dalam kariernya, malah muziknya yang banyak mengetengahkan nilai positif dan tentang Islam diterima baik pendengar.

"Kita semua adalah manusia biasa yang melakukan kesilapan, ada kekurangan namun itulah gunanya kita berpegang kepada agama dalam memastikan kita tidak terpesong," katanya.

4. French Montana, 34 tahun


Gaya French Montana ketika menghadiri Met Gala 2019.

Penyanyi rap French Montana menjadi tumpuan ramai ketika tiba di acara Met Gala 2019 baru-baru ini apabila dia tampil dengan busana jubah termasuk Gutra dan Aigal (penutup kepala).

French atau Karim Kharbouch memberitahu dia tampil dengan gaya itu sebagai menghormati malam pertama Ramadan yang kebetulan jatuh pada hari sama acara itu berlangsung.

Walaupun ada yang merasakan French gagal memenuhi garis panduan pemakaian ke acara itu, namun ramai memuji sikapnya penyanyi rap berasal dari Casablanca, Maghribi itu sehingga namanya trending di Twitter pada hari tersebut.

5. Q-Tip, 49 tahun


Q-Tip antara rapper yang menjadi buruan pada era 1990-an. 

Pada tahun 1990-an, penyanyi rap Q-Tip antara yang menjadi buruan sehingga dia pernah dikaitkan dengan isu hubungan cinta dengan Janet Jackson, Mariah Carey dan Nicole Kidman.

Namun dunia hiburan dikejutkan dengan berita dia memeluk agama Islam pada 1996 dan menggunakan nama Kamal Ibn John Fareed.

Pada tahun sama, Q-Tip juga pernah menghasilkan sebuah album berjudul  Beats, Rhymes and Life menerusi kumpulannya A Tribe Called Quest yang turut dianggotai oleh Ali Shaheed Muhammad yang banyak membicarakan tentang perjalanannya sebagai seorang Muslim.

6. DJ Khaled, 43 tahun


DJ Khaled sentiasa berbangga dengan agamanya.

Khaled Mohamed Khaled atau DJ Khaled tidak pernah menyembunyikan status agamanya, malah memberitahu sangat berbangga bergelar seorang Muslim.

Seperti Busta Rhymes, Khaled memberitahu pegangan agama sentiasa membuatkan dia berasa kerdil dan menjauhi sikap sombong walaupun dia berjaya dalam kariernya.

"Islam adalah kehidupan, saya dilahirkan dan dibesarkan sebagai seorang Muslim.

"Agama telah membawa banyak kebaikan dan rahmat kepada saya dan keluarga," katanya ketika ditemubual bersama majalah Rolling Stones.

Sebelum ini, Khaled menjadi perhatian apabila memuat naik video bersama anak lelakinya, Asahd Tuck Khaled sambil mendengar ayat al-Quran.

7. Mos Def, 46 tahun


Mos Def kini lebih banyak melakukan kerja-kerja amal.

Mos Def atau Dante Terell Smith dilahirkan dalam sebuah keluarga Islam namun tidak pernah mengamalkan cara hidup itu sehinggalah usianya mencecah 13 tahun.

Namun pada usianya 19 tahun pula Mos Def mengucap dua kalimah syahadah dan mula hidup sebagai seorang Islam sejati, selain menggunakan nama Yasiin Bey.

Sejak itu dia banyak terlibat dalam aktiviti kemanusian termasuk kebajikan selain menghasilkan lagu-lagu berunsurkan positif dan kerohanian.

"Anda tidak akan dapat mengharungi kehidupan tanpa berpegang kepada sesuatu. Sama ada anda mengabdikan diri kepada kerja atau kehendak anda.

"Jalan paling baik adalah untuk mengabadikan diri dan beribadat kepada Allah," ujarnya.

Artikel Berkaitan

Artikel Lain