suria

Daripada jurusolek kepada pemilik empayar berbilion dolar, Huda Beauty mahu jadi seperti Estee Lauder

Huda Kattan memiliki empayar jenama kecantikan bernilai bilion dolar Amerika. - Foto Her Digital

DARIPADA kosmetik kepada wangian dan seterusnya program realiti di Facebook, Huda dan Mona Kattan seolah-olah tidak berhenti setakat itu sahaja.

Huda merupakan wajah di sebalik jenama kecantikan paling pesat berkembang di dunia, Huda Beauty.

"Saya tidak akan berada di sini tanpa keluarga saya," kata pemilik empayar bernilai bilion dolar Amerika itu.

Jurusolek yang berubah menjadi seorang usahawan itu berkongsi tentang kakak-kakaknya yang berstatus kacukan Iraq Amerika iaitu Mona dan Alya serta suami berdarah Colombia Amerika, Christopher Goncalo.

Usahawan wanita itu digelar sebagai Kim Kardashian West dalam kalangan influencer ekonomi kecantikan.

Huda menjadi penghias muka depan Vogue Arabia.

"Saya ialah mata. Mona pula hati dan pemikir. Alya menjadi kaki yang memastikan kami terus berjalan.

"Chris merupakan otot yang membantu syarikat ini meraih keuntungan," kata Huda.

Mona merupakan anak bongsu daripada tiga beradik perempuan yang menjadi tulang belakang kepada jenama tersebut.

Beliau melancarkan blognya, Huda Beauty pada 2010 dan seterusnya berkembang kepada jualan bulu mata palsu pada 2013.

Figura dunia kosmetik itu dibantu oleh Mona dan pelaburan sebanyak RM25,000 daripada Alya.

Kami mahu menjadi seperti Estee Lauder. Saya sukakan jenama itu. Pengasas yang memiliki visi akan mengubah industri ini.

HUDA KATTAN

Tidak lama selepas itu, syarikat mereka buat julung kalinya mengeluarkan koleksi solekan di Sephora Dubai.

Huda juga diangkat sebagai salah seorang daripada 10 influencer yang paling berpengaruh dalam dunia kecantikan oleh majalah Forbes.

Selepas lima tahun bertapak dalam dunia perniagaan, mereka mempunyai 50 juta pengikut yang digabungkan bersama dan produk terjual di lebih 1,500 kedai di seluruh dunia.

"Kami mahu menjadi seperti Estee Lauder. Saya sukakan jenama itu. Pengasas yang memiliki visi akan mengubah industri ini. 

"Mereka telah mengubah dunia. Perjalanan kami masih jauh dan kami mengambil mereka yang tepat untuk bekerja sebagai satu pasukan," kata Huda. - Vogue Arabia

Huda Beauty, Huda Kattan

Artikel Lain