suria

Tunjuk perubahan sebelum ahli keluarga meninggal dunia, benarkah kucing miliki naluri kematian?

Warga emas yang tinggal berseorangan biasanya membela kucing untuk menghilangkan rasa sunyi. -Gambar hiasan AI

KUCING dikatakan antara haiwan yang mempunyai firasat dan bertindak mengikut naluri.

Perkara ini bagaimanapun belum dibuktikan secara saintifik, tetapi ramai percaya kucing mampu mengesan sekiranya seseorang itu akan meninggal dunia.

Malah, kucing juga seolah-olah tahu bila saat mereka sendiri akan tiba.

1. Kematian manusia

Terdapat teori mengatakan deria bau kucing yang luar biasa mungkin membantu mereka mengesan perubahan tubuh manusia apabila organ mula gagal berfungsi.

Individu yang sedang nazak mungkin mengeluarkan feromon tertentu yang boleh dikesan oleh kucing melalui deria mereka yang sangat sensitif.

Memandangkan kucing diketahui mampu mengesan penyakit lain melalui bau, tidak mustahil mereka juga boleh menghidu bahan kimia yang dilepaskan tubuh sebelum kematian.

Kucing juga berkemungkinan mampu merasai penurunan suhu badan pada seseorang yang hampir meninggal, selain menyedari perubahan pada bahasa tubuh seperti pergerakan yang semakin perlahan atau kaku.

Pencinta haiwan menganggap kucing seperti ahli keluarga sendiri. -Gambar hiasan AI

Pemilik kucing sering melaporkan perubahan kelakuan haiwan peliharaan mereka sebelum seseorang dalam keluarga meninggal dunia.

Ada kucing yang menjadi lebih manja, sering menggesel, mendekati dan mula merengek lebih daripada biasa.

2. Kematian kucing

Biasanya, kucing akan mencari tempat yang tenang dan tersembunyi untuk berbaring apabila mereka merasai kematian makin dekat.

Bagi kucing peliharaan dalam rumah, mereka mungkin akan bersembunyi di bawah katil atau dalam almari terbuka. 

Kucing luar pula mungkin memilih bawah kereta atau celah semak.

Walaupun tiada bukti saintifik kukuh, ramai pemilik kucing sedar perubahan pada tingkah laku haiwan mereka beberapa hari sebelum ia mati.

Sama seperti manusia, kucing yang hampir mati juga akan hilang selera makan, mengalami perubahan emosi atau kelihatan tidak terurus.

Mereka mungkin berasa lemah atau sakit dan akibatnya tidak lagi menggunakan kotak pasir najis seperti biasa.

Perubahan emosi juga mungkin menjadikan kucing yang biasanya manja menjadi menjauh, murung atau diam. 

Mereka mungkin juga tidak mahu disentuh atau dipeluk lagi. 

Sebagai peringatan, ini hanyalah sekadar teori berdasarkan penceritaan pemilik-pemilik kucing mengenai pengalaman mereka.

Umat Islam tidak sepatutnya percaya kucing mampu meramal kematian kerana soal ajal maut itu merupakan rahsia Allah. - Agensi.

Artikel Lain