suria

Boleh jadi ‘bad mood’ kalau tiba-tiba rasa kembung perut... Jangan bimbang, ini 7 petua buang angin dalam badan

Beberapa kaedah boleh bantu anda untuk keluarkan angin dari badan. (Gambar hiasan, Freepik)

PERNAHKAH anda merasakan badan seperti lesu dan sebu?

Ini mungkin kerana dalaman badan anda sudah dipenuhi dengan angin yang terkumpul.

Apakah langkah yang boleh dilakukan jika anda terjebak dalam situasi sebegini?

Menurut Pengasas For Him Clinic, Dr Ahmad Samhan Awang, terdapat beberapa teknik yang boleh diamalkan oleh seseorang itu jika badannya dirasakan berangin.

Ayuh kita cuba!

Dr Ahmad Samhan berkongsikan tip mengenai cara membuang angin dalam badan.

1) Yoga

Anda boleh cuba beberapa teknik yoga seperti Child Pose, Happy Baby Pose atau Squat yang dipercayai mampu membantu anda membuang angin.

2) Cuba bergerak atau berjalan lebih banyak

Aktiviti fizikal sememangnya boleh membantu melancarkan pergerakan dalam sistem penghadaman lantas memudahkan pengeluaran najis serta angin dalam perut.

3) Pengambilan probiotik

Probiotik adalah sejenis bakteria baik yang hidup dalam usus dan perut yang boleh membantu anda meregulasikan bakteria kolon yang membawa angin.

Boleh dapatkan di suplemen daripada klinik, farmasi ataupun mengambil makanan dan minuman yang mengandunginya seperti yogurt kultur hidup.

4) Mandi dengan air suam atau panas

Haba yang anda dapat daripada mandi air suam atau panas dipercayai mampu melegakan rasa tidak selesa pada perut dan abdomen angkara angin.

Badan dirasakan tidak sihat mungkin kerana angin yang berlebihan. (Gambar hiasan, Freepik)

5) Sapu minyak angin pada perut

Kajian pada tahun 2016 menunjukkan bahawa gabungan sapuan ekstrak fennel dan curcumin pada perut kembung adalah berkesan untuk melegakan gejala-gejalanya.

6) Urut perlahan perut dan abdomen

Ia boleh dibuat dengan cara meletakkan tangan pada atas tulang pinggang. Kemudian sapukan sedikit minyak angin agar ia lebih licin.

Seterusnya urutkan melalui gerakan membulat dengan tekanan yang ringan pada sebelah kanan dan kiri tulang rusuk.

Ulangkan pergerakan itu dengan perlahan jika perlu.

7) Elak tabiat mengunyah gula-gula getah

Ketahuilah bahawa gula-gula getah juga adalah punca utama angin dalam perut.

Ini disebabkan oleh kandungan gula alkohol yang wujud di dalamnya serta angin yang boleh masuk ke dalam perut tanpa sedar di saat anda mengunyah gula-gula ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain