suria

Lewat dapat zuriat, lelaki juga kena periksa tahap kesuburan sebelum isteri lakukan IVF

Suami isteri perlu bekerjasama dalam usaha untuk mendapatkan zuriat. foto Freepik Jcomp

TERDAPAT pelbagai faktor seperti gaya hidup, lambat berkahwin mahupun status ekonomi boleh mempengaruhi tahap kesuburan wanita.

Walaupun pengaruh usia juga mampu membawa kesan kepada penurunan kadar kesuburan dan kelahiran bayi, namun kemajuan teknologi perubatan yang canggih dan terkini mampu memberi sinar harapan kepada pasangan yang berniat mendapatkan zuriat.

Antara inisiatif yang dapat merawat isu kesuburan adalah persenyawaan in-vitro atau In Vitro Fertilisation (IVF).

Sempena Hari IVF Sedunia tahun ini, Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) iaitu Dr Ashley Chung Soo Bee dan Dr Farah Leong Rahman berkongsi mengenai teknologi rawatan kesuburan.

teknologi rawatan ivf

Teknologi perubatan moden berkaitan dengan rawatan IVF. foto Sunway Medical Centre Velocity

Dr Ashley Chung Soo Bee berkata, teknologi rawatan kesuburan amat efektif dalam membantu pasangan untuk hamil, terutama dengan kewujudan inisiatif IVF yang merupakan salah satu prosedur paling berkesan pada masa ini.

"IVF merupakan salah satu pilihan yang terbaik jika anda dan pasangan mengalami masalah tiub fallopio tersumbat, sejarah kerosakan pensterilan tiub, endometriosis, masalah ovulasi, kualiti atau fungsi sperma yang sudah terjejas.

"Selain itu mungkin juga masalah pensterilan lelaki, kesuburan yang tidak dapat dijelaskan, masalah genetik atau sebagai cara pemeliharaan tahap kesuburan bagi pesakit kanser.

"Ujian genetik praimplantasi aneuploidies (PGT-A) atau ujian untuk mengesan sebarang abnormaliti pada embrio merupakan antara teknologi perubatan yang inovatif dalam rawatan masalah kesuburan.

"PGT-A merupakan ujian saringan yang dilakukan bersama prosedur IVF, dapat menentukan bahawa sesebuah embrio itu sihat atau tidak.

"PGT-A boleh meningkatkan kadar kehamilan, mengurangkan risiko keguguran, risiko abnormaliti pada kromosom dan membolehkan embrio yang mempunyai kromosom normal dipindahkan ke dalam rahim atau dibekukan untuk kegunaan masa hadapan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Banyak perkara buruk anda dengar tentang IVF, dua pakar jelaskan 5 mitos mengenai rawatan ini

Selain itu, satu lagi teknik makmal terkini yang digunakan untuk prosedur IVF adalah suntikan sperma terpilih morfologi intracytoplasma (IMSI), di mana proses magnifikasi akan dilakukan untuk mengenal pasti kecacatan di kepala sperma yang tidak dapat dilihat melalui prosedur biasa serta menyuntik sperma yang berkeadaan normal ke dalam oosit (telur) untuk meningkatkan peratusan kejayaan persenyawaan.

dr ashley

Dr Ashley Chung Soo Bee.

Menurut Dr Ashley, rawatan IVF adalah berbeza bagi setiap wanita, membuatkan setiap orang mengalami tindak balas berbeza kepada ubat-ubatan berlainan dan pada masa berbeza.

Oleh itu, pesakit dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan klinikal yang menyeluruh dan melakukan ujian darah bagi mengetahui punca kepada masalah ketidaksuburan mereka sebelum memulakan prosedur IVF.

"Sesetengah wanita mungkin berjaya hamil selepas hanya satu kitaran IVF, sementara yang lain mungkin perlu mencuba beberapa kitaran sebelum mereka boleh memulakan fasa untuk berkeluarga.

"Terdapat beberapa cabaran semasa melakukan prosedur IVF seperti harus menerima suntikan rawatan IVF secara harian untuk merangsang ovari menghasilkan telur bersifat matang untuk digunakan semasa proses persenyawaan dengan sperma.

"Sebelum anda memulakan kitaran IVF anda, jururawat kami akan berkongsi semua perkara yang anda perlu tahu mengenai suntikan ini," tambah Dr Ashley.

dr ashley ultrasound

Dr Ashley (kanan) menjalani prosedur ultrasound terhadap pesakit. -gambar hiasan

Mengenal pasti masalah ketidaksuburan lelaki

Memandangkan fasa berkeluarga adalah sebuah perjalanan yang perlu dilalui oleh setiap pasangan, kesedaran mengenai masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki harus diketengahkan kerana terdapat peningkatan kes di peringkat tempatan dan global.

Dr Farah Leong Rahman berkata, tahap kesuburan lelaki turut boleh menurun seiring dengan peningkatan usia, namun hal ini dilihat sebagai tidak sebegitu serius jika dibandingkan dengan wanita.

"Penurunan kadar kesuburan lelaki biasanya akan bermula apabila mereka mula memasuki fasa usia 40-an kerana ia mampu menjejaskan kualiti sperma yang dihasilkan,” katanya.

Menurutnya lagi, masalah ketidaksuburan dalam kalangan lelaki tidak selalu dibincangkan kerana masih terdapat stigma untuk berbincang tentang perkara ini secara terbuka, terutama dalam budaya orang Asia yang memandang tinggi warga lelaki.

dr farah

Dr Farah Leong Rahman.

Jelas Dr Farah, tidak dinafikan lebih banyak kesedaran perlu dibangkitkan tentang isu ini dan faktor gaya hidup serta persekitaran memainkan peranan yang amat besar kerana menghisap rokok atau ganja, pengambilan alcohol secara berlebihan, obesiti dan rawatan hormon boleh membawa kepada parameter sperma yang tidak optimum.

"Terdapat pelbagai punca yang boleh membawa kepada masalah ketidaksuburan lelaki. Sesetengah punca disebabkan oleh faktor kongenital atau faktor keturunan yang bermaksud masalah-masalah itu telah wujud sejak lahir lagi.

"Namun begitu, terdapat juga faktor-faktor lain seperti pembedahan, trauma, jangkitan, masalah testis, masalah kesihatan yang tidak dikenal pasti atau daripada ubat-ubatan tertentu yang menjadi punca kepada masalah ketidaksuburan ini

"Oleh itu, setiap rawatan yang disyorkan akan bergantung kepada punca masalah ketidaksuburan itu sendiri," tambah Dr Farah.

Bagi memeriksa sama ada seseorang itu mempunyai sperma yang optimum atau tidak, satu ujian sperma ringkas boleh dijalankan untuk mengumpul maklumat mengenai jumlah sperma, kelajuan (motiliti) serta bentuk sperma.

Pemeriksaan lanjut seperti ujian hormon darah akan dilakukan jika perlu, bergantung kepada parameter sperma tersebut.

dr farah konsultasi

Dr Farah (kiri) melakukan konsultasi bersama satu pasangan. -gambar hiasan

Menurut Dr Farah, terdapat beberapa keadaan yang memerlukan seseorang itu untuk mendapatkan rawatan, termasuk masalah untuk mencapai ereksi atau ejakulasi, sejarah pembedahan pada kemaluan atau rawatan kanser seperti kemoterapi.

Walau bagaimanapun, katanya, pesakit dinasihatkan untuk berjumpa pakar rawatan kesuburan sekiranya telah mencuba untuk mendapatkan anak selama lebih dari setahun tanpa sebarang simptom.

Dr Farah berkata, walaupun terdapat banyak sebab mengapa pasangan mungkin memerlukan rawatan IVF, IVF turut boleh menjadi pilihan kepada para lelaki dengan masalah jumlah kiraan sperma yang sedikit atau sperma yang tidak boleh berenang.

"Sebagai contoh, bagi keadaan sperma yang tidak mampu berenang, kami boleh mencari sperma yang paling sesuai melalui mikroskop dan menyuntik terus ke dalam telur untuk proses persenyawaan. Kaedah ini boleh meningkatkan peluang untuk mendapat kehamilan yang berjaya," kata Dr Farah.

suami isteri ivf freepik drobotdean

Rawatan kesuburan seperti IVF sebagai salah satu usaha bagi pasangan yang berhajat untuk mendapatkan anak. foto Freepik / Drobotdean

Kemajuan dalam teknologi perubatan yang berkembang pesat bukan sekadar dapat merawat simptom, namun mampu untuk memberikan penyelesaian kepada pelbagai isu seperti masalah ketidaksuburan serta rasa bimbang yang timbul daripada kelewatan dalam memulakan fasa berkeluarga.

Rawatan kesuburan seperti IVF boleh dipertimbangkan untuk menjadi salah satu usaha bagi pasangan yang berhajat untuk mendapatkan anak dan ingin memastikan kehamilan dan bayi yang selamat serta sihat.

Rawatan IVF juga merupakan salah satu daripada pelbagai pilihan rawatan yang ditawarkan di Pusat Kesuburan Sunway di SMCV yang akan mula beroperasi pada Julai ini.

Maklumat lanjut, boleh hubungi +603 9772 9191 atau emel di [email protected].

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain