suria

Perhatian! Kajian dapati sakit tekak kini gejala paling biasa Covid-19

Sakit tekak kini merupakan simptom yang sering dialami individu dijangkiti Covid-19.

MEMASUKI fasa peralihan endemik, negara kini menyaksikan peningkatan ketara kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dalam tempoh 10 Julai hingga 17 Julai lalu atau Minggu Epidemiologi (ME) 28/2022, jumlah kes baharu meningkat 23.4 peratus iaitu 26,355 kes berbanding 21,355 kes pada minggu sebelumnya.

Beliau dalam kenyataan pada Isnin memberitahu bahawa peningkatan paling tinggi membabitkan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu sebanyak 26.6 peratus atau 30 kes kepada 38 kes, manakala bagi penularan tempatan meningkat 23.4 peratus (21,325 kes kepada 26,317 kes).

Sementara itu, dalam laporan berasingan, menurut kajian Zoe Covid, sakit tekak kini merupakan simptom paling biasa yang dialami sekiranya seseorang dijangkiti Covid-19, diikuti sakit kepala dan hidung tersumbat.

Sebelum ini, gejala pandemik itu menyaksikan demam serta hilang deria bau dan rasa tetapi ia kini menjadi simptom Covid-19 paling kurang dilaporkan.

Menurut kajian Zoe Covid, ia turut menyenaraikan batuk, suara serak, bersin, keletihan dan sakit otot sebagai gejala yang biasa berlaku sekarang.

Pengasas bersama saintifik dan ketua saintis Zoe, Profesor Tim Spector turut memaklumkan bahawa virus itu masih berleluasa dalam populasi.

sakit tekak 2

Jika sebelum ini, kebiasaan simptom Covid-19 adalah demam serta hilang deria rasa dan bau.

"Sehinggakan jika anda mempunyai sebarang simptom seperti selsema pada masa ini, ia hampir dua kali ganda berkemungkinan adalah Covid berbanding selesema.

"Ini kerana terdapat pelbagai varian Covid-19 yang wujud bersama, seperti varian Omicron BA.2, BA.4 dan BA.5.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada beza di antara asma, bronkitis dan penyakit tibi... gejala lebih buruk jika terkena Covid-19, kawal sebelum parah!

"Malah orang yang mempunyai jangkitan lampau atau yang telah diberi vaksin sepenuhnya juga boleh dijangkiti," katanya.

Utusan Khas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr David Nabarro turut memberitahu bahawa virus tersebut sentiasa berkembang dan menjadi 'terlalu bijak'.

"Virus itu sentiasa berkembang dan berubah, maka itulah sebabnya kita melihat peningkatan kes kerana ia telah berubah sekali lagi, menjadi terlalu bijak untuk kita.

"Ia boleh melepasi pertahanan imun kita dan itulah sebabnya jumlahnya meningkat," tambah Dr Nabarro dalam temu bual bersama Sky News.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain