suria

Kanak-kanak makan banyak buah dan sayur berpotensi miliki kesihatan mental lebih baik

Kekurangan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran bukan sahaja boleh mempengaruhi prestasi akademik kanak-kanak, tetapi juga pertumbuhan dan perkembangan fizikal mereka.

BUAH-buahan dan sayur-sayuran adalah makanan yang amat penting dalam diet harian kerana ia membekalkan pelbagai khasiat dan nutrisi yang tidak terdapat dalam makanan lain.

Kanak-kanak yang sedang membesar terutamanya digalakkan untuk makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran supaya mereka dapat membesar dengan lebih sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Fakta... Berat badan kanak-kanak meningkat hampir 2 kali ganda ketika musim Covid-19!

ARTIKEL BERKAITAN: Rasa 'down' dan tak bersemangat? Cuba 6 makanan dan minuman ini untuk kembalikan mood anda

Bukan sahaja penting bagi kesihatan fizikal, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran turut dikaitkan dengan kesihatan mental yang lebih baik buat kanak-kanak.

Menurut kajian yang dijalankan oleh ahli akademik di Sekolah Perubatan Norwich di University of East Anglia, kanak-kanak yang makan lima hidangan buah-buahan dan sayur-sayuran atau lebih setiap hari mempunyai markah tertinggi untuk kesejahteraan mental.



Buah-buahan serta sayur-sayuran adalah makanan yang penting bagi tumbesaran kanak-kanak.

Kajian yang diterbitkan dalam jurnal BMJ Nutrition, Prevention & Health itu juga mendapati tahap kesejahteraan mental yang lebih tinggi ditunjukkan khususnya dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Kajian berkenaan, yang menganalisis data hampir 9,000 kanak-kanak di 500 sekolah di sekitar Norfolk, England adalah yang pertama seumpamanya yang mengkaji kaitan antara pengambilan buah dan sayur dalam kalangan pelajar sekolah dan kesejahteraan mental.

Peserta kajian melaporkan sendiri pilihan makanan mereka dan mengambil bahagian dalam ujian kesejahteraan mental yang menilai tahap keceriaan, ketenangan dan hubungan interpersonal yang positif.

Kajian tersebut turut mengambil kira faktor-faktor lain yang mempengaruhi mental kanak-kanak, seperti persekitaran rumah dan pengalaman buruk yang dilalui.

Hasil kajian mendapati hanya 25 peratus pelajar sekolah menengah dan 28 peratus pelajar sekolah rendah makan buah dan sayur lima kali sehari seperti yang disyorkan.

Menurut kajian itu lagi, lebih daripada 20 peratus pelajar sekolah menengah dan 10 peratus pelajar sekolah rendah tidak makan sarapan.



Pengambilan buah-buahan serta sayur-sayuran dikaitkan dengan tahap kesihatan mental yang baik bagi kanak-kanak.

Sementara itu, lebih daripada 10 peratus pelajar sekolah menengah tidak makan tengah hari, dan hanya 10 peratus daripada mereka juga dilaporkan tidak makan buah-buahan atau sayur-sayuran.

Penulis kajian itu, Dr Richard Hayhoe berkata, penemuan itu adalah satu perkara yang membimbangkan, kerana kekurangan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran bukan hanya boleh mempengaruhi prestasi akademik di sekolah, tetapi juga pertumbuhan dan perkembangan fizikal kanak-kanak.

"Satu lagi perkara menarik yang kami dapati adalah khasiat pemakanan memberi kesan yang sama atau lebih terhadap kesejahteraan sama seperti faktor-faktor lain, contohnya menyaksikan pertengkaran atau kekasaran di rumah."

“Dalam kalangan pelajar sekolah menengah khususnya, ada kaitan yang sangat kuat antara pengambilan makanan berkhasiat, penuh dengan buah-buahan dan sayur-sayuran, dan kesejahteraan mental yang lebih baik."

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain