suria

Fakta... Berat badan kanak-kanak meningkat hampir 2 kali ganda ketika musim Covid-19!

Peningkatan BMI amat tinggi bagi kanak-kanak yang berusia lebih muda dan mereka yang mempunyai masalah obesiti.

VIRUS Covid-19 telah menyebabkan ramai orang terjejas berikutan pelbagai sekatan dan undang-undang yang dikuatkuasakan bagi mengelakkan penularan wabak tersebut.

Antara yang paling terasa pastinya golongan kanak-kanak, yang terpaksa menghabiskan zaman kecil mereka di rumah. Perkara ini sudah tentu boleh memberi kesan kepada psikologi dan perkembangan minda mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Beg sekolah berat punca skoliosis? Awasi postur anak elak tulang belakang membengkok

ARTIKEL BERKAITAN: Varian Delta: Fahami tentang penyebarannya dan mengapa ia berbahaya

Bukan itu sahaja, menurut satu kajian mengenai morbiditi dan kematian yang diterbitkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), ternyata pandemik ini juga dikaitkan dengan kenaikan berat badan dalam kalangan kanak-kanak.

Penyelidik mendapati kadar perubahan indeks jisim badan (BMI) kanak-kanak meningkat hampir dua kali ganda dari bulan Mac hingga November 2020 berbanding tempoh sebelum pandemik Covid-19.



Kanak-kanak tidak berpeluang melakukan kegiatan fizikal berikutan pelbagai sekatan yang dikuatkuasakan.

Kanak-kanak yang terlibat dalam kajian berkenaan mengalami peningkatan yang signifikan dalam kadar perubahan BMI mereka semasa pandemik, kecuali bagi mereka yang mempunyai masalah kurang berat badan.

Salah seorang penulis kajian itu, Samantha Lange berkata, peningkatan BMI amat tinggi bagi kanak-kanak yang lebih muda dan mereka yang mempunyai masalah obesiti.

“Pelajar sekolah dan pra-sekolah, terutamanya mereka yang mengalami masalah obesiti, mengalami peningkatan BMI akibat pandemik lebih tinggi berbanding golongan remaja," katanya.

Menurut laporan berkenaan, kenaikan berat badan itu dikaitkan dengan penutupan sekolah yang mengehadkan akses kepada kegiatan fizikal dan program makanan sihat.



Peningkatan BMI secara mendadak memberi risiko kepada masalah obesiti.

Bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti, kadar peningkatan adalah 5.3 kali lebih tinggi semasa musim pandemik, yang dapat menyebabkan kenaikan berat badan yang jelas.

Dalam tempoh lapan bulan kajian dijalankan, kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti sederhana atau teruk menunjukkan peningkatan sekitar satu dan dua paun (0.45 dan 0.54 kilogram) setiap bulan.

"Peningkatan berat badan pada kadar ini selama enam bulan dianggarkan menghasilkan masing-masing 6.1 dan 7.6 paun (2.8 dan 3.5 kilogram) berbanding dengan 2.7 paun (1.2 kilogram) bagi seseorang yang mempunyai berat badan yang sihat,” kata laporan itu.

Para penyelidik mengatakan bahawa kajian itu merupakan analisis geografi terbesar dan pertama seumpamanya yang melihat kesan pandemik terhadap BMI, serta kajian yang pertama menunjukkan hasil berdasarkan kategori BMI awal.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

covid-19, bmi, berat badan, obesiti

Artikel Lain