suria

Diet bukan gaya hidup... nak kurus perlu ada ilmu, tiada jalan pintas

Kacang soya mempunyai manfaat protein sama seperti ikan.

KESIHATAN yang baik datang daripda pemakanan yang baik. Kita seringkali dimomokkan dengan beberapa mitos tentang sesuatu makanan tanpa mengetahui fakta sebenar.

Sebagai seorang penasihat kesihatan yang membuka pusat kesihatan sendiri di ibu kota, jejaka bernama Dave Lim Hau Yong ini tidak pernah terlepas daripada menerima soalan-soalan yang berkaitan dengan pantang larang makanan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu XXXL, sekarang S! Bekas atlet silat kongsi rahsia kurus dalam 7 bulan, diet tapi enjoy makan apa saja - “Bulan kedua tak turun-turun”

Berusia 36 tahun, dia juga berperanan sebagai jurulatih peribadi senaman sejak lebih 10 tahun lalu dan kini menjalankan kelas secara atas talian, selain berkongsi ilmu menerusi video yang dimuat naik di media sosialnya.

Mesra disapa Dave, dia telah berkongsi info tentang kandungan soya yang terdapat dalam setiap makanan harian yang kita ambil menerusi sebuah video di TikTok.

TikTok tersebut mendapat perhatian ramai kerana Dave telah 'membongkar' fakta bahawa sebenarnya semua makanan yang kita ambil mengandungi kacang soya.

“Ramai yang beritahu saya mereka tidak boleh ambil makanan tertentu dan salah satunya adalah kacang soya. Ada yang kata kacang soya boleh menyebabkan kanser. Sebenarnya perkara tersebut adalah mitos,

soy 2

Jejaka berusia 36 tahun ini berjaya menurunkan berat badan sebanyak 8 kilogram dengan mengamalkan pemakanan yang betul.

“Jadi,saya terpanggil untuk buat video dan sampaikan info yang sebenar tentang perkara ini. Saya tak mahu orang salah anggap tentang sesuatu makanan dan mereka perlu tahu info yang betul, tidak boleh dengar mitos sahaja," jelasnya.

Jelasnya lagi, kacang soya bukanlah penyebab seseorang itu menghidapi penyakit sebaliknya, mereka perlu menjaga pemakanan dengan betul.

“Sebenarnya ramai yang salah faham tentang soya. Soya merupakan kacang yang mempunyai protein yang tinggi dan kandungan protein dalam soya sama seperti kita makan ikan,

“Kacang soya juga mengandungi lemak yang baik dan juga serat. Kandungan nutrisi kacang soya sebenarnnya sama seperti ayam, daging dan kambing cuma ketiga-tiga jenis makanan ini mengandungi lemak tepu,” jelasnya lebih terperinci.

Tidak mahu masyarakat terus mempercayai mitos, Dave juga turut menjelaskan beberapa jenis mitos lain berkaitan aspek pemakanan.

“Mitos lain yang saya sering dengar adalah karbohidrat. Ramai orang kata karbohidrat boleh menggemukkan lebih-lebih lagi nasi putih. Walaupun nasi putih boleh menambah gula dalam badan tetapi sebenarnya pemilihan jenis lauk yang boleh jadi punca berat badan kita bertambah.

Sebagai seorang penasihat kesihatan, saya selalu berpesan kepada pelajar-pelajar saya supaya melakukan senaman dengan betul dan pastikan sebelum memulakan diet, kaji dahulu tentang diet tersebut.



DAVE

PENASIHAT KESIHATAN & JURULATIH SENAMAN

“Bila kita pilih lauk berminyak, sudah tentu lauk tersebut mempunyai kalori yang tinggi. Jadi sebenarnya bukan nasi menjadi punca berat kita bertambah tetapi ianya berpunca daripada corak pemakanan kita sendiri,” jelas Dave kepada mStar.

"Lagi satu, saya selalu dengar mitos tentang protein boleh merosakkan buah pinggang. Sebenarnya bukan protein yang menjadi punca. Orang yang mengalami masalah buah pinggang perlu mendapatkan nasihat dotor tentang keperluan protein yang mereka perlu ambil setiap hari.

"Mitos macam ni boleh buat orang normal pun takut mahu ambil protein sedangkan protein merupakan keperluan asas untuk tubuh badan. Bila kurang protein, kita akan susah untuk mengekalkan otot dan sistem imuniti badan akan terganggu.

"Keadaan ini akan menjadikan badan kita susah untuk membakar kalori kerana metabolisme badan berkurang kesan daripada kekurangan otot," jelasnya.

Jejaka yang berasal daripada Setapak, Kuala Lumpur ini turut berpesan kepada mereka yang ingin menurunkan berat badan perlu mendapatkan maklumat yang betul.

soy 1

Dave mempunyai pengetahuan tentang senaman dan pemakanan yang sihat yang dipejarinya melalui pakar.

"Jika tanya saya tentang jenis diet yang betul, pada saya semua diet mempunyai kebaikan selagi ianya boleh memberi kesan kepada penurunan berat badan.

"Namun amalan diet ini tidak bagus sekiranya dijadikan sebagai gaya hidup yang berterusan. Apa yang penting, kita kena jaga pemakanan dan tahu jumlah kalori yang kita ambil dalam setiap makanan," kata Dave.

Ditanya berkenaan mitos-mitos pemakanan dan diet yang sering menjadi ikutan ketika ini jelas Dave, masyarakat perlu mengkaji dahulu sebelum melakukan apa-apa keputusan.

"Saya lihat sekarang ini ramai yang keluarkan fakta yang tidak betul walaupun golongan tersebut datang daripada oang yang berpengalaman.

"Nasihat saya, belajar dengan orang yang betul, pergi ke kelas supaya semua info yang kita perlu tahu akan jadi lebih jelas. Jangan guna cara pintas untuk jadi kurus, itu lebih penting," pesannya.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain